Liputan 5G di kawasan berpenduduk kini 81.7 peratus

Iklan
Nie Ching pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk negara kini mencapai tahap 81.7 peratus, dengan siapnya 7,114 tapak 5G di seluruh negara setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata buat masa ini, pembinaan rangkaian 5G tertumpu di kawasan bandar yang mempunyai aktiviti ekonomi tinggi, manakala peluasan ke kawasan lain termasuk luar bandar telah dimulakan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Iklan
Iklan

"Di Kuala Lumpur peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk pada tahap (97.7 peratus), Putrajaya (97.3 peratus), Selangor (96.1 peratus), Johor (83.1 peratus), Melaka (88.6 peratus), Negeri Sembilan (77.5 peratus), Pulau Pinang (91.1 peratus) dan Perak (79.8 peratus),” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) yang ingin tahu perancangan kerajaan untuk membina lebih banyak pencawang bagi tujuan meningkatkan kadar capaian Internet berkelajuan tinggi (5G) di kawasan pedalaman dengan lebih menyeluruh.

Iklan

Sementara itu, Nie Ching berkata, liputan 5G di kawasan berpenduduk di Kedah pada tahap 80.1 peratus, Perlis (91.4 peratus), Pahang (65.5 peratus), Terengganu (72.7 peratus), Kelantan (66.4 peratus), Sabah (68.6 peratus), Labuan (94.4 peratus) dan Sarawak (62 peratus).

Menjawab soalan tambahan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai saluran aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sekiranya terdapat masalah liputan, Nie Ching berkata, mereka boleh membuat aduan menerusi talian WhatsApp 016-2206262.

Iklan

Nie Ching berkata, aduan juga boleh dibuat menerusi laman web https://www.mcmc.gov.my/ atau kaunter aduan MCMC di Bangunan Parlimen, yang membolehkan ahli Parlimen membuat aduan sekiranya terdapat masalah liputan Internet di kawasan masing-masing. - Bernama

______________________________________________________________________

H: MNO hanya boleh berada dalam satu entiti bagi rangkaian 5G kedua

KUALA LUMPUR - Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) hanya boleh memegang ekuiti dalam satu entiti bagi rangkaian 5G kedua di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, langkah itu untuk menjamin persaingan yang sihat antara kedua-dua entiti dalam membangunkan infrastruktur rangkaian 5G di Malaysia selain dapat menyediakan perkhidmatan 5G yang berkualiti utk rakyat.

"Mengikut perjanjian yang ditandatangani oleh MNO dan Digital Nasional Bhd (DNB), mereka telah bersetuju bahawa MNO hanya boleh berada dalam satu entiti, sama ada entiti A atau entiti B dalam model dwirangkaian 5G.

"Selepas tempoh proses Pakej Maklumat Pemohon (AIP) tamat, sesiapa yang memenangi tender ini, mereka akan memimpin entiti B. Jika mereka yang tidak dipilih akan kekal berada di entiti A.

"Bagi mereka yang berada di entiti B, mereka akan menjual saham mereka dalam DNB supaya mereka akan menjadi dua entiti berbeza,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai sama ada kerajaan akan melarang syarikat telco (syarikat telekomunikasi) yang sama untuk memegang ekuiti dalam kedua-dua syarikat rangkaian 5G untuk memastikan mereka bersaing dalam memberi perkhidmatan 5G yang pantas dengan harga yang paling murah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia termasuklah mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (AIP) pada 1 Julai 2024.

Sebelum ini, empat MNO mengumumkan bahawa perjanjian langganan saham (SSA) dengan DNB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) telah dimuktamadkan selepas memenuhi semua syarat dalam SSA bersyarat.

Pihak berkenaan iaitu YTL Power International Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd menandatangani SSA bersyarat pada 1 Dis 2023, untuk membuka laluan peralihan kepada model rangkaian dwiborong (DWN) 5G.

Menjawab soalan Chong mengenai status pelaksanaan 5G dwirangkaian dan pegangan ekuiti DNB yang akan dilepaskan kepada syarikat telco, Nie Ching berkata, struktur pegangan saham dalam DNB bagi setiap pelabur akan diselaraskan kepada 30 peratus (Menteri Kewangan Diperbadankan) dan 14 peratus (setiap MNO).

Katanya, ini selepas pihak Telekom Malaysia menyempurnakan perjanjian langganan sahamnya bersama Menteri Kewangan Diperbadankan dan DNB pada atau sebelum 21 Ogos 2024. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!