Bangunkan sistem kesan rakyat Malaysia bekerja di luar negara

Iklan
Dr Zaliha Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu diberitahu bahawa kerajaan berpandangan terdapat keperluan untuk membangunkan satu sistem untuk mengesan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara bagi menangani krisis penghijrahan cendekiawan atau brain drain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika ini, negara belum mempunyai angka rasmi bilangan atau peratusan rakyat Malaysia yang telah ke luar negara untuk bekerja.

Iklan
Iklan

Ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu), Dr Zaliha berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa usaha untuk mengekang isu penghijrahan cendekiawan antaranya mengumumkan penambahbaikan sistem saraan untuk penjawat awam.

Roslan dalam pertanyaan tambahannya ingin tahu jika kerajaan berpendapat penghijrahan cendekiawan adalah situasi menang-menang memandangkan apabila rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara kembali bekerja di dalam negara akan lebih berbakat, berpengalaman dan berkemahiran.

Iklan

Pada 23 September tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneliti kaedah untuk menarik rakyat Malaysia yang mahir kembali menyumbang kepada negara dalam usaha menangani krisis penghijrahan cendekiawan.

Anwar berkata, kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pendidikan Tinggi sedang melibatkan mereka yang boleh menyumbang untuk kembali dan ditempatkan dalam bidang kompetensi tertentu untuk membantu Malaysia.

Iklan

Terdahulu, kepada soalan asal Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu), Dr Zaliha memaklumkan tiada pengurangan pilihan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (JPA-LSPM).

Beliau berkata syarat ditetapkan untuk memohon biasiswa JPA-LPSM itu antaranya sesebuah IPTS mesti berdaya saing dan tersenarai dalam QS World University Rankings. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!