Kertas kerja berkaitan perlombongan REE akan dibentangkan

Iklan
Nik Nazmi (kanan) mengetuai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di daerah Kuala Muda di sini, pada Rabu.

SUNGAI PETANI - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membentangkan kertas kerja berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) terutamanya berkaitan pemetaan sebenar keberadaan mineral itu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) nanti.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia memandangkan lokasi itu hanya diketahui melalui kajian dan anggaran kawasan sahaja.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, satu kertas akan dibawa NRES ke MTEN berikutan Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) ke-3 pada Rabu dan mesyuarat dengan Kementerian Ekonomi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini.

"Soal dia bagaimana kita hendak memastikan pertamanya, pemetaan (memandangkan) kita ada banyak tinjau dan anggarkan lokasi.Jadi, kita nak tengok lokasi yang betul-betul sesuai untuk dieksploitasi.

Iklan

"Kedua, untuk memastikan bukan sahaja kita dapat hasil secara kasar iaitu bahan mentah itu tetapi untuk memproses sebahagiannya di negara kita seperti yang dilaksanakan di Kilang Lynas untuk unsur dari Australia yang berbeza dengan sumber di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di daerah Kuala Muda, di sini, pada Rabu.

Iklan

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, ketika ini, terdapat beberapa syarikat menyatakan minat untuk pemprosesan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dikeluarkan di mukim Kenering, Hulu Perak, Perak.

"Jadi, kita tengah tengok bagaimana cara terbaik (dan) mereka pun ada beberapa permintaan lah sebab ini bukan pelaburan dua puluh tiga puluh ringgit, ini pelaburan besar, mereka nak dapat beberapa jaminan daripada pihak kerajaan, jadi kita sedang nilai permintaan mereka," katanya.

Beliau berkata, kementerian turut akan memastikan sebahagian bahan mentah mineral itu dapat diproses di negara ini secara lestari termasuk pengurusan sisa bahan itu bagi mengelak sebarang pertikaian nanti.

Katanya, penggunaan teknologi bersesuaian juga perlu dipertimbangkan, selain memastikan negara mendapat hasil secara kasar.

"Pada masa ini Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) memproses nadir bumi, namun ia berbeza dengan bahan mineral yang terdapat di negara kita.

"Lynas banyak 'cater' (proses) kepada nadir bumi daripada Austaralia, jenis dia lain sikit. Kita masih dalam perbincangan (proses nadir bumi), rancangan nanti kita akan tengok di MTEN," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) untuk pengeluaran sudah dikeluarkan bagi unsur nadir bumi di Kedah.

"Cuma kita minta jangan kacau hutan, cuba eksploitasi di luar dulu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!