[VIDEO] Kilang kitar semula proses plastik terpakai jadi pelet makanan ikan kena serbu

Iklan

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah membongkar kegiatan sebuah kilang kitar semula yang disyaki memproses plastik terpakai menjadi pelet makanan ikan di daerah Kuala Muda, di sini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan terbabit dikesan dalam Ops Patuh bermula jam 11 pagi dilaksanakan JAS secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kilang kitar semula terbabit dipercayai beroperasi secara haram dengan menjadikan pelet yang dibungkus dalam pek-pek makanan ikan.

Nik Nazmi memegang plastik terpakai yang dipercayai diproses menjadi pelet makanan ikan di sebuah kilang kitar semula pada Rabu.

"Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 100 tan metrik yang telah selesai diproses sebagai pelet dan dibungkus dalam plastik bertulis makanan ikan air tawar.

Iklan

"Selain itu, kita turut menemui kira-kira 100 tan metrik plastik terpakai yang belum diproses," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di daerah Kuala Muda di sini, pada Rabu.

Iklan

Nik Nazmi (tengah) mengetuai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di daerah Kuala Muda, di sini, pada Rabu.

Nik Nazmi berkata, pihaknya mengesyaki bahan plastik terpakai diproses untuk dijadikan pelet disebabkan rupanya seakan makanan ikan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut menyita lebih 1,500 tan metrik bahan sisa elektronik dalam serbuan di sebuah lagi kilang kitar semula di daerah sama.

Tambah Nik Nazmi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JAS akan terus memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti perindustrian termasuk kilang haram yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Katanya, serbuan dilakukan di dua kilang kerana menjalankan pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual (e-waste) tanpa kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan lesen dari JAS serta aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan EIA.

"Bagi penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Akta 127), premis disiasat di bawah Seksyen 18, AKAS 1974 kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa mendapat lesen daripada JAS.

"Selain itu, premis disiasat di bawah Seksyen 34A, AKAS, 1974 kerana gagal mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling kepada JAS; dan Seksyen 34B, AKAS 1974 kerana menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar," katanya.

Katanya, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 ke atas mesin-mesin pengeluaran yang digunapakai di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.

Nik Nazmi memberitahu, kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan juga akan disediakan atas semua kesalahan di bawah AKAS 1974.

Kata beliau, berdasarkan rekod JAS, terdapat 3,526 premis daripada pelbagai sektor industri yang beroperasi di Kedah.

Sehingga Jun 2024, JAS telah berjaya menjalankan 544 pemeriksaan penguatkuasaan terhadap industri di Kedah.

"Sebanyak 359 tindakan penguatkuasaan diambil yang merangkumi pengeluaran notis arahan untuk tindakan penambahbaikan, pengeluaran kompaun, penahanan operasi kelengkapan, gantung lesen dan penyediaan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan," katanya.

Beliau menegaskan, Ops Patuh dilaksanakan sejajar dan bertepatan dengan aspirasi untuk menjalankan pemutihan terhadap industri haram di negeri ini.

Katanya, ia bertujuan untuk mengawal aktiviti yang tidak mematuhi undang-undang serta merosakkan alam sekitar, merisikokan kesihatan masyarakat setempat dan menyebabkan ketirisan hasil negeri dan negara.

Tambah Nik Nazmi, NRES sentiasa komited untuk memastikan semua industri yang beroperasi mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 serta lain-lain perundangan yang berkaitan.

"NRES juga mengalu-alukan cadangan memperluaskan konsep kawasan industri secara ‘gated and guarded’ supaya pengurusan, kawalan dan pengawasan industri-industri ini mudah dijalankan oleh agensi-agensi berkaitan.

"Inisiatif pengawasan pintar yang menggunakan CCTV di kawasan perindustrian serta ‘hotspots’ merupakan satu langkah proaktif dalam mengekang pelupusan buangan terjadual serta lain-lain jenayah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!