Peserta GAM berjaya tingkat pendapatan sehingga RM5,000

Iklan
Lokman (tengah) beramah mesra dengan penerima Geran Agropreneur Muda.

SEREMBAN - Sebanyak 41 peratus peserta bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya meningkatkan pendapatan mereka antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, ia membabitkan seramai 764 usahawan bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga suku pertama tahun ini.

Lokman

Iklan
Iklan

"Bila kita bantu melalui geran ini, mereka dapat meningkatkan hasil produktiviti dan ia secara tidak langsung telah meningkatkan pendapatan mereka.

"Apabila pendapatan mereka meningkat, ia melayakkan lagi untuk membuat pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah dan ia membolehkan mereka terus mengembangkan perniagaan melalui pelbagai bentuk kemudahan disediakan," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Program Pemadanan Belia Tani bersama Industri Subsektor Agromakanan Jabatan di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, dari tahun 2016 hingga Jun tahun ini, KPKM telah menyalurkan geran berjumlah RM174.16 juta kepada seramai 9,529 penerima di bawah bantuan GAM di seluruh negara.

Ujarnya, seramai 71 usahawan telah berjaya mengembangkan perniagaan daripada pasaran setempat ke pasaran nasional iaitu pemasaran produk ke sekurang-kurangnya tiga negeri.

Iklan

"Bantuan di bawah geran berkenaan merangkumi barangan seperti input dan peralatan pertanian serta infrastruktur ladang dengan nilai RM20,000 setiap penerima.

"Ia meliputi pengeluaran tanaman, perikanan dan ternakan," katanya.

Dalam pada itu katanya, sudah ramai golongan muda yang terlibat dalam bidang pertanian, malah ada dalam kalangan mereka yang sudah bergelar jutawan.

Jelasnya, mereka sudah mula sedar akan peluang yang ada dalam bidang berkenaan namun mengharapkan teknologi baharu diperkenalkan.

"Kalau 10 ke 15 tahun lalu, mereka fikir susah nak ceburi pertanian ini kerana ilmu itu terbatas, tapi sekarang tidak lagi.

"Cumanya kita perlu meneroka lagi sumber teknologi dalam bidang pertanian ini yang dapat membantu nilai tambah produk," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan turut dilancarkan Buku Pakej Teknologi Cili Fertigasi terbitan Jabatan Pertanian.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!