PH boleh menang jika dapat sokongan 36 peratus pengundi Melayu

Iklan
Mohammad Redzuan bercakap dalam sidang akhbar Tinjauan Landskap Persepsi Rakyat Menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap: Satu Analisis di ibu pejabat IDE pada Rabu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) berpeluang merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap jika koalisi Kerajaan Perpaduan mampu menarik sokongan 36 peratus daripada pengundi Melayu pada pilihan raya kecil (PRK), Sabtu ini.

Pengerusi Eksekutif Institusi Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, melalui kaji selidik yang dijalankan, PH memerlukan sokongan kaum India di tiga pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Sungai Bakap (20 peratus), Puteri Gunong (26 peratus) dan Ladang Sempah (25 peratus).

Iklan
Iklan

Katanya, kajian itu juga mendapati koalisi PH-BN mendapat sokongan sebanyak 53.2 peratus sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan 43 peratus manakala 3.8 peratus lagi adalah pengundi atas pagar.

"PH juga perlu memastikan lebih 60 peratus pengundi Cina jika mereka mahu memastikan calon Kerajaan Perpaduan menang dalam PRK DUN Sungai Bakap.

Iklan

"PN pula boleh menang jika mereka berjaya meraih sokongan lebih 65 peratus daripada pengundi Melayu selain undi daripada kaum lain pada hari pengundian nanti," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam pada Rabu.

Beliau berkata, kajian IDE juga mendapati bahawa sokongan anak muda terhadap PH dan PN agak seimbang antara kedua-dua koalisi di kalangan pengundi di DUN Sungai Bakap.

Iklan

Kajian itu berdasarkan tinjauan pendapat IDE secara langsung membabitkan 786 responden terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan demografi pengundi di lapan PDM di Sungai Bakap selama empat menjelang Hari Penamaan Calon baru-baru ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi di dalam perut.

Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon PH, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.

Mohammad Redzuan berkata, PH juga boleh menang dengan majoriti melebihi 2,400 undi dalam PRK DUN Sungai Bakap jika peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini melebihi 60 peratus daripada 39,279 orang pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jika perkara itu berlaku bermakna hanya 62 peratus orang Melayu keluar mengundi, manakala kaum Cina dan India masing-masing 60 peratus keluar mengundi.

Berdasarkan simulasi dibuat IDE, jika peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus maka PH akan mendapat 36 peratus undi Melayu, 82 peratus undi kaum Cina dan 77 peratus undi kaum India.

Manakala, PN pula akan memperoleh 63 peratus undi Melayu, lapan peratus pengundi Cina dan 18 peratus pengundi Cina.

Beliau berkata, kajian IDE juga mendapati bahawa sokongan anak muda terhadap PH dan PN agak seimbang antara kedua-dua koalisi di kalangan pengundi di DUN Sungai Bakap iaitu masing-masing 44.4 peratus manakala 11.2 peratus adalah atas pagar.

Bagaimanapun, Mohammad Redzuan berkata, PH dijangka menghadapi masalah besar untuk merampas kerusi DUN Sungai Bakap jika peratusan keluar mengundi kaum Cina rendah.

"Berdasarkan kajian IDE menunjukkan PH kini berada di hadapan berbanding PN untuk menang kerusi dalam PRK DUN Sungai Bakap.

"Bagaimanapun, kemenangan PH atau PN juga bergantung kepada jumlah peratusan pengundi luar balik mengundi pada PRK DUN Sungai Bakap nanti," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Redzuan berkata, kajian berkenaan juga menunjukkan isu kenaikan kos sara hidup dan penyasaran subsidi diesel tidak banyak memberi impak kepada sokongan pengundi di PRK DUN Sungai Bakap.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!