GIP sedia lepaskan pegangan dalam tempoh singkat - Amir Hamzah

Iklan
GIP telah menyatakan kesediaan untuk menjadi pemegang saham minoriti MAHB selain bersedia melepaskan pegangan dalam tempoh yang singkat. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Global Infrastructure Partners (GIP) telah menyatakan kesediaan untuk menjadi pemegang saham minoriti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selain bersedia melepaskan pegangan dalam tempoh yang singkat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemilihan GIP daripada beratus syarikat yang dinilai juga berasaskan kriteria ketat termasuk kesediaan menerima warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Pengarah Urusan MAHB.

"Seperti saya sebutkan tadi, pendirian kita tegas dalam mempertahankan kepentingan pegangan dalam aset strategik negara. Dalam hal ini, hanya GIP dilihat menepati syarat ditetapkan iaitu sedia untuk melabur,” katanya semasa sesi penerangan kamar khas pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga telah melaksanakan proses yang terperinci dan komprehensif dalam memilih rakan kongsi teknikal yang seiring dengan matlamat untuk mengubah dan meningkatkan kecekapan lapangan terbang negara.

Justeru, beliau yakin kepakaran, kejayaan dan pengalaman GIP dalam mengoptimumkan tahap kecekapan di lapangan terbang adalah yang diperlukan bagi meningkatkan daya saing serta kecekapan lapangan terbang negara.

Iklan

Amir Hamzah berkata, contohnya, GIP berjaya meningkatkan jumlah laluan penerbangan di Lapangan Terbang Edinburgh daripada 141 kepada 225 manakala bilangan penumpang juga meningkat daripada 9.2 juta pada 2012 kepada 14.4 juta pada 2023.

GIP juga menggantikan aerotrain penumpang di Lapangan Terbang Gatwick hanya dalam tempoh 10 bulan, katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mengambil kira keperluan mendesak untuk melaksanakan pembaharuan di MAHB menerusi Konsortium yang diwujudkan dengan diterajui oleh Khazanah dan KWSP melibatkan langkah pengambilalihan pegangan majoriti 70 peratus dalam MAHB dan baki 30 peratus pula oleh GIP dan Abu Dhabi Investment Authority.

"Dengan tertubuhnya Konsortium ini, pembaharuan kepada lapangan terbang negara dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera.

"Keperluan pelaburan MAHB yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion untuk tempoh lima tahun dapat disegerakan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kukuh ahli konsortium,” katanya.

Beliau berkata, MAHB hanya membelanjakan sekitar RM1.4 bilion untuk 39 lapangan terbang dalam tempoh lima tahun lepas berbanding RM6.6 bilion oleh Thailand dan Singapura melabur RM12 bilion.

"Maka, masanya sudah tiba. Kalau kita tidak melakukan sebarang perubahan sekarang, Malaysia akan semakin ketinggalan di rantau ini,” katanya.

Amir Hamzah berkata, sebelum pandemik melanda, kemasukan pelancong ke Malaysia dalam tempoh 10 tahun hanya berkembang pada kadar satu peratus setahun berbanding negara jiran iaitu lapan peratus setahun.

Laluan penerbangan jarak jauh bagi Malaysia seperti ke London, Tokyo dan Beijing turut menurun daripada 33 pada 2010 kepada hanya 22 bagi 2023, katanya.

"Sedangkan, negara serantau menunjukkan peningkatan bilangan laluan penerbangan jarak jauh mereka seperti 40 laluan di Singapura dan 55 laluan di Thailand.

"Antara penerbangan langsung dari Singapura seperti Paris, New York dan Addis Adaba. Ketiadaan laluan penerbangan langsung seperti ini dari Malaysia mengehadkan potensi pelancongan dan pelaburan,” katanya.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!