Lebih 90 peratus peniaga patuhi prosedur sijil halal - Jakim

Iklan
Gambar hiasan.

KOTA BHARU - Lebih 90 peratus pemilik sijil halal di seluruh negara komited mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Rasyidah Che Wil berkata, pematuhan itu didorong sikap tanggungjawab pemilik syarikat atau premis bagi memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, walaupun sudah memiliki sijil halal, JAKIM mendapati mereka tetap bertanggungjawab memastikan syarat dan prosedur dipatuhi secara konsistan.

"Ini kerana kegagalan mematuhi garis panduan ditetapkan boleh menyebabkan sijil yang dimiliki boleh digantung atau ditarik balik berdasarkan kesalahan dilakukan sama ada kecil mahupun besar," katanya kepada pemberita pada Seminar Pensijilan Halal Malaysia, Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) 2020 Kepada Industri Kelantan di sini pada Rabu.

Iklan

Rasyidah berkata, Jakim turut mengambil pendekatan mengadakan perbincangan dengan pemegang sijil halal terlebih dahulu jika berlaku ketidakakuran kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

"Ini kerana kita sedar pemilik sijil halal mendapat keyakinan yang tinggi daripada pelanggan selain mempunyai peluang yang lebih luas untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perindustrian Sumber Manusia dan Keusahawanan negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, kerajaan Kelantan telah menetapkan pemilikan sijil halal sebagai syarat wajib bagi pembaharuan lesen premis di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan akan diperluaskan ke jajahan lain.

Iklan

Menurutnya, ia bagi memastikan perniagaan yang dijalankan diyakini halal dan bersih sekali gus menggalakkan lebih ramai peniaga mendapatkan pensijilan halal.

"Setakat Jun lepas, sejumlah 411 pemegang sijil halal di Kelantan dengan 44 daripadanya dimiliki oleh peniaga bukan muslim,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!