PERKONGSIAN pelawak, Nizam Jentik Jentik di Facebook mengenai kemalangan maut yang disaksikannya menarik perhatian warga maya.
Menurut Nizam atau nama penuhnya Mohd Nornizam Mohd Yusof, dia antara individu awal yang berada di lokasi kejadian turut berhenti untuk memayungkan mangsa yang ketika itu masih bernyawa dan berada di bawah panas terik.
Katanya, dia bersama beberapa penunggang motosikal membantu mengawal lalu lintas dan menjaga barangan peribadi mangsa serta menghubungi talian kecemasan.
"Kami pun cuba jaga segala barang penting mangsa, telefon bimbit, beg duit, tetapi kami tidak dapat menghubungi waris kerana tiada nombor kecemasan tertera di telefonnya (ini penting).
"Bila hubungi talian kecemasan, operator tanya sama ada mangsa masih hidup atau tidak, sejujurnya ketika awal kejadian, mangsa nampak masih bernafas, tetapi kemudian tiada sebarang pergerakan.
"Jadi talian kecemasan beritahu saya perlu hubungi polis. Beberapa orang di situ turut bantu saya periksa keadaan mangsa dan pastikan mangsa telah pun meninggal dunia," ujar Nizam.
Bagaimanapun keadaan menjadi sayu apabila secara tiba-tiba, isteri mangsa menghubungi dan tidak ada sesiapa yang berani untuk menjawab panggilan tersebut.
Lebih memilukan, isteri mangsa seperti mendapat petanda sesuatu berlaku terhadap suaminya dan terus bertindak menghubungi telefon bimbit arwah.
"Satu ungkapan yang cukup berat dan sebak untuk saya khabarkan waktu itu: 'Puan, suami puan ada dekat dengan saya ini, dia terlibat dalam kemalangan puan...' dan saya hampir menangis ketika jawab, 'Suami puan dah tak ada puan...'
"Saya dengar puan tadi meraung menangis... saya terkedu dan menitik jugak air mata saya. Saya hantar gambar keadaan suaminya untuk kepastian beliau dan lihat gambar profil dua anak yang masih kecil. Allahuakbar menitik terus airmata saya..." cerita Nizam lagi.
Nizam berkata, difahamkan kejadian berlaku sebaik mangsa selesai menghantar anaknya ke sekolah.
"ALLAHU sekelip mata saja suaminya pergi meninggalkan keluarga... Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan semoga isteri dan anak-anaknya dipermudahkan segala urusan," tulisnya.
Menerusi pencarian, mangsa dikenali sebagai Muhamad Firdaus Abd Rahman, 33, meninggalkan seorang balu, Siti Masliza Yaacob dan sepasang cahaya mata.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!