Umar, Shereen padu di AUG 2024

Iklan
Umar dan Shereen meneruskan kempen pengumpulan pingat emas kontinjen negara pada hari kelapan temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024. Foto fail Bernama

[DIKEMAS KINI] JAGUH 400 meter (m), Umar Osman dan Shereen Samson Vallabouy meneruskan kempen pengumpulan pingat emas kontinjen negara pada hari kelapan temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024.

Di Lapangan Atletik FIK Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Umar penuntut Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang itu berjaya meningkatkan pengupayaan pecutan apabila menamatkan larian dengan catatan 47.22 saat (s).

Iklan
Iklan

Pingat perak menjadi milik pelari tuan rumah Muhamad B Fitadi yang mencatat masa 48.20s manakala bintang Thailand, Bundee Jirateep membawa pulang gangsa (48.66s).

Sementara itu, Shereen pelari Winona State University pula meneruskan momentum positif di bumi Surabaya apabila meraih catatan 53.71s.

Iklan

Kemenangan itu membolehkan atlet dari Ipoh Perak tersebut mengatasi dua pencabar terdekat dari Thailand, Benny Nontanam (55.09s) dan bintang Indonesia, Maulidah dengan penamat 56.51s.

"Saya percaya dapat emas sebab yakin kepada keupayaan diri sendiri dan itu motivasi terbaik untuk diri saya," kata atlet yang melakukan penampilan sulung di pentas temasya dwi tahun tersebut kepada pemberita pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Shereen mengakui lega dengan kemenangan tersebut di sebalik mengharapkan catatan masa yang lebih baik.

"It's little bit windy today, namun itu bukan alasan sebaliknya saya telah berusaha memberikan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, kem olahraga menambah lagi kutipan pingat emas apabila mengungguli acara 4x100m berganti-ganti lelaki menerusi gandingan Muhammad Azeem Fahmi, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Aliff Iman Mohd Fahimi dan Mohd Raimi Mustafa Kamal.

Kuartet negara menampilkan larian padu dengan catatan 40.10s mengatasi lawan dari Thailand yang memenangi pingat perak (40.75s) diikuti Indonesia untuk gangsa (40.93s).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!