AGRO Bank memperluas sistem pembayaran digital dan transaksi tanpa tunai kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) termasuk setiap lapisan masyarakat di Kelantan, Pahang serta Terenggganu menerusi program Kembara Retail Sector Digitalization Initiative (ReDI).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bermula 2 Julai hingga 5 Julai ini.
Menurutnya, ia bertujuan untuk merealisasikan agenda keterangkuman kewangan melalui ekosistem kewangan lebih mudah, selamat dan lancar dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Program ReDI melibatkan lokasi tersebut iaitu di Pahang (Raub dan Kuala Lipis), Kelantan (Gua Musang serta Kuala Krai) manakala di Terengganu (Kuala Besut, Kg Raja, Alor Lintang dan Jerteh).
"Agro Bank teruja untuk menyertai program ReDI ini bersama-sama KPDN dan rakan kerjasama strategik dalam memperluaskan usaha transformasi ke arah kewangan serta perbankan digital di Pantai Timur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihaknya mempromosikan kemudahan QR Agrobank yang menawarkan urusan transaksi kewangan lebih pantas, selamat dan cekap serta dapat dimanfaatkan sekurang-kurangnya 50 peniaga di setiap lokasi jelajah kembara.
Ujarnya, Agro Bank turut menyasarkan pendaftaran akaun baharu sebanyak 500 akaun apabila program tersebut selesai dilaksanakan nanti.
"Agrobank sentiasa komited dalam menyokong kesejahteraan golongan usahawan khususnya PKS dalam sektor pertanian, perladangan serta perikanan.
"Melalui transformasi kewangan digital, kami mahu menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat di tiga negeri itu dengan menjana pertumbuhan dan kerancakan ekonomi, memesatkan perniagaan golongan PKS serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di wilayah ini.
”Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada komuniti peniaga dan pengguna setakat ini, sambutan dan penerimaan mereka sangat baik," jelasnya.
Tambah beliau, dengan beralih kepada transaksi tanpa tunai, peniaga dan pengguna mampu menikmati urus niaga yang lebih cepat, mudah dan selamat tanpa keperluan untuk melakukan pengeluaran tunai di ATM.
Menurutnya, inisiatif berkenaan juga dapat memastikan penjual dan peniaga boleh terus mendapat bayaran tanpa keperluan transaksi wang tunai dari pelanggan serta tiada kesulitan untuk menyediakan duit kecil.
"Apabila dilaksanakan, ia akan menjadikan urusan perniagaan lebih efisyen dan lancar, selain memberi peluang kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!