Malaysia guna laluan Jordan hantar bantuan ke Gaza

Iklan
Mohamad menerima sumbangan kemanusiaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO Sdn Bhd, Datuk Azman Idris (kanan) pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kemanusiaan Untuk Palestin di Wisma Putra pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Malaysia akan menggunakan laluan Lintasan Jambatan Raja Hussein yang menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan ia satu-satunya laluan ke Gaza yang masih dibuka selepas Lintasan Rafah ditutup sepenuhnya awal Mei lalu

Iklan
Iklan

"Penghantaran bantuan selepas ini saya rasa elok kita buat melalui melalui Jordan kerana mereka mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan perkara itu telah dibincangkan semasa lawatan saya ke Jordan tempoh hari.

"Kerajaan Jordan menghantar 500 kontena setiap hari melalui pintu itu," katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Inisiatif Kemanusiaan Untuk Palestin di Wisma Putra pada Rabu.

Iklan

Ujar beliau, pengurusan penghantaran bantuan kemanusiaan dilakukan menerusi Ops Ihsan.

"Dengan hubungan baik Malaysia dan Jordan, kami (Wisma Putra) bertindak sebagai pengantara untuk menemukan badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan bagi menghantar bantuan ke Gaza," jelasnya.

Iklan

Mohamad berkata, setakat ini Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) telah menerima jumlah keseluruhan sumbangan RM98,828,028.83.

Daripada jumlah sumbangan yang diterima, sebanyak RM34,992,378.10, AAKRP telah menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan antarabangsa di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) dan Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA).

Kementerian Pengajian Tinggi bagi kemudahan pembiayaan dan elaun sara hidup untuk pelajar-pelajar Palestin di Malaysia, NGO di bawah Ops Ihsan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Jordan, Mesir dan Palestin serta Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan bagi penyelenggaraan tahunan Masjid Al-Aqsa.

Manakala lebih kurang RM9 juta akan disalurkan antaranya bagi rawatan kanser pesakit Palestin, bekalan air bersih di Gaza, menaiktaraf pengurusan sanitasi dan kebersihan air, dan naik taraf peralatan perubatan.

Sementara itu, Mohamad menegaskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadualkan September depan bakal menjadi pentas utama untuk Malaysia menyuarakan kelantangan membela nasib Palestin dan mengutuk rejim Israel menghentikan serangan terhadap negara itu.

"Kita mahu supaya resolusi Majlis Keselamatan PBB, penghakiman sementara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa itu dikuatkuasakan dan rancangan tiga fasa gencatan senjata oleh Amerika Syarikat dan dua negara lain yang diterima semua pihak Zionis.

"Kita dikhabarkan pihak Hamas menerima rancangan ini tetapi ditolak Israel.

"Mereka sentiasa mencari alasan demi alasan untuk memanjangkan perang dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!