RAJA pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi akan melakukan persiapan rapi baik dari segi latihan dan recovery selepas diumumkan bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi slot 'wild card'.
Malah pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter (m), mengakui hilang kata-kata walaupun bersedia untuk menerima sebarang pengumuman Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membabitkan slot ke temasya di Paris tersebut.
"Saya bersyukur dan hilang kata-kata, masih meremang (dengar pengumuman ke Paris). Saya tak jangka dapat tiket ke Sukan Olimpik 2024 dan sebenarnya, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima apa sahaja keputusan daripada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Jadi apabila berita itu adalah satu perkara yang positif, ini adalah peluang yang terbaik untuk saya terus berkembang dan terus meningkatkan prestasi diri sendiri.
"Ini satu peluang yang amat baik untuk karier saya," katanya ketika ditemui pemberita di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA) pada Rabu.
KOM sebelum itu menerusi Shahidan mengambil keputusan untuk memberikan slot 'wild card' kepada Azeem Fahmi untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 pada sidang media khas di Parlimen pada Rabu.
Keputusan itu menyaksikan Azeem menyisihkan cabaran pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang menjadi seorang lagi calon untuk diberikan wild card ke Paris.
Dalam pada itu, Shereen akur dengan keputusan KOM yang memilih Azeem untuk mengisi slot 'wild card' ke Sukan Olimpik 2024 sambil menyifatkan Azeem layak mendapat slot terbabit.
Namun Shereen yang memenangi pingat emas 400m wanita Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya Malang 2024 tekad untuk terus meningkatkan prestasinya pada masa depan.
"Sudah tentu sebagai atlet (mahu ke Sukan Olimpik) dan kita sudah bekerja keras. Tetapi kalau tidak ada peluang itu, saya akan terus bekerja keras dan bangkit dengan lebih kuat pada tahun depan.
"Siapa yang mendapat slot itu, dia layak untuk mendapatkannya jadi saya tidak akan kecewa untuk perkara itu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!