SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor harimau belang yang dilaporkan mengganggu ternakan penduduk di Jalong di sini pada Rabu.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, harimau belang jantan diberi nama 'Yop Jalong' dianggarkan berusia dua tahun itu berjaya memasuki perangkap yang dipasang sejak 20 Jun lalu.
"Perangkap ini dipasang selepas menerima aduan berhubung serangan haiwan liar ke atas ternakan kambing penduduk.
"Harimau ini dipercayai masuk awal pagi tadi dipercayai dari Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati harimau dengan berat kira-kira 75 kilogram itu dilaporkan dalam keadaan sihat.
Tambah Yusoff, operasi pemindahan dan tindakan lanjut dilaksanakan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!