4 warga asing larikan RM360,966 ketika urus niaga emas ditahan

Iklan
Datuk Hussein Omar Khan

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Seramai empat warga asing termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki melarikan wang sebanyak RM360,966 milik seorang jurutera ketika urus niaga emas, di sini pada 24 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian pada jam 4.20 petang, suspek telah menjemput mangsa berusia 45 tahun datang ke pejabatnya untuk bertemu dengan seorang lelaki lain atas urusan pembelian emas.

Iklan
Iklan

"Pengadu telah menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios duduk di hadapan sebelah suspek, kemudian dibawa ke Jalan Sulaiman 1, di sini dan dimaklumkan akan membuat transaksi di kawasan pejabat suspek.

"Suspek kemudian telah turun dari kereta untuk lihat bukti wang tunai sebanyak RM360,966 dan mengatakan akan mengira wang dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Hussein berkata, suspek meminta mangsa untuk berada di tempat duduk belakang bagi menyelia proses kiraan wang yang akan dibuat.

"Mangsa telah meletakkan wang tunai itu di ruangan kaki tempat duduk hadapan, sebelum bergerak ke tempat duduk belakang,” katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Hussein berkata, suspek secara tiba-tiba menarik beg dan melulu keluar dari kereta serta melarikan wang tunai dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda City.

"Mangsa cuba untuk membuka pintu kereta Toyota Vios itu tetapi terkunci, akhirnya dia keluar melalui tingkap kereta, namun gagal untuk mengejar suspek," katanya.

Bertindak daripada laporan dibuat, Hussein berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menangkap tiga lelaki dan seorang wanita pada Jumaat dan Sabtu lalu.

"Kesemua suspek berusia 24 hingga 37 tahun ditahan di Persiaran TRX dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur.

"Antara barangan dirampas wang tunai RM28,300, dua kereta, enam telefon bimbit, sebuah komputer riba, pakaian, kasut, tiga beg, kunci rumah dan enam kad bank,” ujarnya.

Jelas beliau, modus operandi suspek adalah menjanjikan emas kepada mangsa dan melarikan wang sewaktu transaksi dilakukan.

"Dua suspek direman sehingga 12 Julai, manakala dua lagi suspek direman sehingga 16 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!