SHAH ALAM - Pengunjung Riuh Euro Sinar Harian berpeluang untuk mendapatkan 10 jam tangan keluaran khas dengan logo pelbagai pasukan unit beruniform.
Pengasas dan Pengeluar Jam Tangan Keluaran Khas Taktikal, Jeffri Mansor berkata, tujuan pihaknya menaja jam tangan tersebut kerana mahu menghargai peminat bola sepak di samping membangkitkan semangat kesukanan sepanjang kejohanan yang menjadi tumpuan peminat seluruh dunia.
"Saya melihat program ini sebagai satu acara yang mendekatkan masyarakat tidak kira agama dan warna kulit. Jadi saya terpanggil untuk bersama-sama memeriahkan acara ini.
"Mereka boleh mendapatkan jam tangan ini dengan menyertai beberapa permainan yang dianjurkan di Restoran Hakim sepanjang siaran langsung final Euro 2024 itu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Sinar Harian akan menganjurkan program Riuh Euro sempena final Euro 2024 yang pada 14 Julai, jam 10 malam di Restoran Hakim, Seksyen 7 di sini.
Sepanjang program berlangsung, terdapat pelbagai aktiviti menarik akan diadakan dan pengunjung berpeluang membawa pulang hadiah lumayan.
Mengulas lanjut, Jeffri memberitahu, dia mahukan pengunjung acara itu tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya membawa sesuatu yang boleh dijadikan kenangan.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan, jumlah keseluruhan sumbangan itu mencecah sehingga RM2,500 dengan anggaran RM250 bagi setiap satu jam.
Katanya, keistimewaan jam itu adalah ia boleh dibawa untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak.
"Saya diberi kebenaran untuk menggunakan lambang badan beruniform negara dalam menghasilkan jam tangan itu,” ujarnya.
Jelas Jeffri, mana-mana individu, penggemar atau pengumpul jam boleh bersama-sama menyertai Riuh Euro Sinar Harian untuk mendapatkan jam tangan keluaran khas tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!