Tapak projek kawalan hakisan pantai simpan diesel tanpa permit diserbu

Iklan
Sebanyak 25,000 liter minyak diesel dan dua buah 'skid tank' dengan anggaran nilai keseluruhan RM111,750 dirampas di lokasi berkenaan.Foto KPDN Terengganu

KUALA NERUS - Tindakan pihak syarikat kontraktor menyimpan diesel tanpa kebenaran di sebuah tapak projek kawalan hakisan pantai di Kampung Mengabang Kapal, di sini membawa padah apabila perbuatan itu berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya merampas sebanyak 25,000 liter minyak diesel dan dua buah 'skid tank' dengan anggaran nilai keseluruhan RM111,750 di lokasi berkenaan pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan dilakukan lapan anggota penguat kuasa KPDN Terengganu bersama lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 2.30 petang itu merupakan hasil risikan yang telah dilakukan selama satu minggu.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati pihak syarikat kontraktor tersebut gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan minyak diesel di lokasi kejadian.

Iklan

"Dianggarkan terdapat lebih kurang 25,000 liter minyak diesel di dalam kedua-dua buah 'skid tank' yang ditempatkan di tapak projek berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang disyaki sebagai penyelia di tapak projek tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan

Katanya, kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru, Saharuddin memberi amaran keras kepada semua pihak yang berkaitan selain menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

"Masyarakat juga disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutama berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi tersebut.

"KPDN juga sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan selain meningkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!