Jelajah Joran Pantai Timur tawar RM23,200

Iklan
Kawasan memancing di Kampung mangkuk, Rhu Sepuluh yang menjadi lokasi JJPT Sabtu ini.

HADIAH wang tunai lebih RM23,200 menanti pemenang pertandingan memancing Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT), di Setiu Sabtu ini.

Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, naib juara menerima RM1,500 dan ketiga RM1,000.

Iklan
Iklan

Pemenang keempat hingga ke-10 menerima RM500, manakala ke-11 hingga 70 masing-masing menerima RM120.

Pertandingan anjuran West Coast Surfcaster (WCCS) itu, adalah siri pertama daripada dua siri JJPT tahun ini.

Iklan

Acara yang mendapat sokongan Tourism Malaysia itu, akan bermula pada jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 3 petang Jumaat hingga 12 malam dan bersambung pada jam 7 pagi Sabtu hingga pertandingan dimulakan.

Iklan

Jurucakap penganjur, Sharudin Adnan berkata, pertandingan itu akan diadakan di Pantai Kampung Mangkuk, Rhu Sepuluh yang belum pernah dijadikan lokasi pertandingan.

"Ini kali pertama pertandingan memancing diadakan di sini. Walaupun sering dijadikan lokasi memancing secara persendirian, namun belum pernah ada acara memancing diadakan di sini sebelum ini.

"Dalam tinjauan kami, pantai ini mempunyai potensi besar berikutan beberapa pemancing yang ditemui mengatakan spesies ikan pari, gerong belang, ebek, dan todak banyak mendiami dasar laut di sini,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu dijangka membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung bagi menyertainya.

"Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga untuk bercuti di pusat pelancongan popular itu, turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi setempat khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan,’’ katanya.

Tambah beliau, bagi menggalakkan kehadiran peserta, penganjur menetapkan yuran RM60 untuk satu joran manakala bagi pemancing kelainan upaya pula hanya perlu membayar RM30.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!