'Alhamdulillah, mujur rumah tiada penghuni'

Iklan
Keadaan rumah yang terbakar di Kampung Gaal Pondok di Pasir Puteh pada Khamis.

PASIR PUTEH - Seorang peniaga kedai runcit panik melihat sebuah rumah terbakar di Kampung Gaal Pondok di sini pada Khamis.

Nik Bibi Hawa Mohd Rosli, 32, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu bersama suami, Shahrul Amirudin Nor, 34, dari Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong sekitar jam 5 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejurus melihat kejadian itu dia terus menghentikan kenderaan dan mendapati tiada siapa di lokasi kejadian.

"Saya terus membuat panggilan kecemasan, sambil menunggu bantuan tiba kami melihat tiada penghuni yang keluar dari rumah tersebut," katanya ketika dihubungi.

Rumah tersebut terbakar 90 peratus serta melibatkan sebuah motosikal.

Iklan

Nik Bibi Hawa memberitahu, bermacam andaian yang bermain difikirannya kerana kebiasaan pada waktu itu orang sedang nyenyak tidur.

Ujarnya, dia hampir terfikir penghuni tidak sempat menyelamatkan diri.

Iklan

Dia berkata, jiran-jiran juga memaklumkan ada melihat penghuni berada di rumah pada malam sebelum kejadian tersebut.

"Alhamdulillah apabila pihak bomba sampai, didapati rumah tersebut tidak berpenghuni.

Nik Bibi Hawa menyedari kejadian kebakaran itu ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu bersama suami dari Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong sekitar jam 5 pagi.

"Walaupun harta benda tidak dapat diselamatkan tetapi sekurang-kurangnya tiada nyawa terkorban," katanya yang meneruskan perjalanan pulang selepas berada sekitar 40 minit di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penguasa Bomba Kanan Mohd Azhar Helmi Mustofar berkata, rumah tersebut dihuni oleh seorang wanita berusia 40-an bersama tiga anaknya.

Menurut beliau, semasa kejadian mereka berada di rumah saudara.

"Rumah tersebut terbakar 90 peratus serta melibatkan sebuah motosikal.

"Seramai 27 anggota terlibat dari Balai Bomba Pasir Puteh, Tok Bali dan Machang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!