IPOH - Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas dua buah kereta yang mereka pandu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Jelapang, di sini, Rabu malam.
Mangsa yang maut disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.21 malam.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikejarkan ke lokasi.
"Kemalangan melibatkan dua kenderaan jenis Proton Waja dan Nissan Ad Resort, masing-masing dipandu oleh seorang lelaki.
"Mangsa di dalam kereta Proton Waja dibawa orang awam ke hospital manakala yang menaiki Nissan Ad Resort tersepit dan disahkan maut oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan pagi Khamis.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan ‘size-up’ seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota menggunakan peralatan hidrolik untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Abd Samad tamat sepenuhnya pada jam 11.50 malam. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!