[VIDEO] Kerani didakwa rasuah kenalan untuk tuntut insurans kemalangan

Iklan

MELAKA - Seorang kerani di firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis, atas tuduhan memberi suapan berjumlah RM3,000 kepada kenalan bagi tujuan tuntutan insurans kemalangan jalan raya.

Tertuduh R Selvarajah, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabat Paya Wan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberi suatu suapan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada Abdul Karim Mohamad sebagai dorongan untuk individu itu membuat laporan polis trafik palsu pada 11 Mei 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya di sini, antara 10 hingga 31 Mei 2017.

Iklan

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Iklan
Selvarajah (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor di pejabat SPRM Melaka setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah memohon jaminan dikurangkan memandang tertuduh yang berpendapatan RM3,200 sebulan perlu menanggung seorang anak yang masih belajar selain isteri menghidap kanser.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!