SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Speaker, Lau Weng San pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.
Sock Tao yang ditemui pemberita sebelum mengangkat sumpah memaklumkan beliau teruja dan berazam untuk bekerja keras bagi membela nasib dan kebajikan penduduk Kuala Kubu Bharu.
"Hari ini saya rasa amat teruja dan gembira dapat ke sini. Saya berterima kasih kepada pengundi dan berjanji akan bekerja keras serta membawa suara rakyat di persidangan DUN.
"Sepanjang sesi persidangan juga saya akan bangkitkan isu pembangunan industri di Serendah dan Hulu Selangor, perancangan Tahun Melawat Selangor 2025 dan menangani pencemaran di Kuala Kubu Bharu,” katanya.
Mei lalu, Sock Tao memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu bagi menggantikan penyandangnya Lee Kee Hiong yang meninggal dunia akibat barah pada 21 Mac.
Sock Tao menewaskan calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin serta memperoleh 14,000 undi dengan majoriti 3,869 undi.
DAP memenangi kerusi tersebut sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!