Majlis Profesor Negara nafi salah guna dana kerajaan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

SHAH ALAM - Majlis Profesor Negara (MPN) menafikan pihaknya menyalahgunakan pembiayaan kewangan daripada kerajaan bagi tempoh 2019 hingga 2023 seperti terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara yang dibentang di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menerusi satu kenyataan, MPN berkata, kerajaan telah membuat keputusan membubarkan organisasi ini secara serta-merta berkuatkuasa pada 23 Mei 2018 lalu.

Iklan
Iklan

"Di sepanjang tempoh itu pihak MPN telah mengambil inisiatif-inisiatif tertentu untuk menentukan kelangsungannya di samping membuat pindaan terhadap perlembagaannya selaras dengan kedudukan dan statusnya itu," katanya.

Tambah kenyataan itu, MPN diterima semula beroperasi di bawah naungan kerajaan dan menerima dana tahunan mulai Januari 2022.

Iklan

MPN merupakan sebuah entiti di bawah Jabatan Perdana Menteri yang melapor kepada Menteri Pengajian Tinggi.

Jabatan Ketua Audit Negara menerusi laporan terbaharu pada Khamis yang menumpukan audit untuk aktiviti dari 2019 hingga 2023 mendapati MPN telah menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

Iklan

Ini termasuk membayar elaun besar RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tanpa kelulusan menteri.

Selain itu, juruaudit juga mendapati RM373,516 dana MPN digunakan untuk membayar operasi dua syarikat milik ahli lembaga pemegang amanah.

Menurut laman web MPN, entiti ini dipengerusikan Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, manakala timbalannya pula ialah Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Sementara itu, Ketua Audit Negara menerusi laporan sama turut mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji semula MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan.

"Status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan samada ada penyaluran peruntukan geran kepada MPN wajar diteruskan (atau tidak)," kata laporan itu.

Ketua Audit Negara juga menggesa JPM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!