Bunuh ibu bapa angkat, bekas broker saham ke tali gantung

Iklan
Bekas broker saham (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada Khamis atas dua pertuduhan membunuh ibu bapa angkatnya lima tahun lalu.

SEREMBAN - Seorang bekas broker saham dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas dua pertuduhan membunuh ibu bapa angkatnya lima tahun lalu.

Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu terhadap tertuduh lelaki, Tan Kian Ngip, 45, selepas mendengar hujahan pemberat dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada keputusan kes di akhir pembelaan.

Iklan
Iklan

"Memandangkan tertuduh tidak ingin mengemukakan apa rayuan atas hukuman, saya dengan ini memutuskan tertuduh dijatuhkan hukuman mati dengan gantung pada tarikh serta tempat yang akan ditetapkan kelak," katanya.

Sebelum membuat keputusan itu, Rohani turut memaklumkan yang pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di dalam kes terbabit.

Iklan

Beliau kemudiannya memutuskan tertuduh bersalah atas kedua-dua pertuduhan disabitkan terhadapnya dan memberi ruang kepada tertuduh membuat rayuan mitigasi.

Peguam, S Dynasri mewakili tertuduh memaklumkan yang anak guamnya tidak berhasrat membuat rayuan mitigasi terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Ala'uddin Baharom memohon mahkamah membuat pertimbangan sewajarnya dalam kes itu kerana ia adalah kes pembunuhan melibatkan ahli keluarga.

Katanya, pihak pendakwaan menghujahkan yang hukuman gantung sampai mati adalah wajar kerana pembunuhan ke atas si mati adalah satu jenayah dirancang dan pembunuhan kejam.

"Tan Kim Joo mengalami 13 kecederaan yang mana tujuh daripadanya merupakan kecederaan luka tikaman di bahagian badan dan turut dinyatakan beberapa tikaman telah tembusi dua organ penting si mati.

"Bagi Ng Chong Hwa pula, telah ditemui dengan 18 kecederaan termasuk 11 kesan tikaman pada bahagian hadapan dan belakang badan," katanya.

Tambahnya, melihat kepada kecederaan dialami si mati, pihak pendakwaan menghujahkan yang perbuatan tertuduh merupakan perbuatan yang tiada bekas kasihan dan tiada langsung sifat kemanusiaan, ditambah pula ketika itu tertuduh adalah waras.

Justeru itu katanya, tertuduh perlu dijatuhkan hukuman mati bukannya sekadar penjara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian terhadap Tan Kim Joo, 73, dan Ng Chong Hwa, 67, dengan menikam menggunakan pisau.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 4 petang hingga 7.45 malam di Taman Desa Melati Nilai pada 24 Julai 2019.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seramai 40 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan kes sejak tahun 2019.

Sementara itu, pada prosiding berkenaan turut hadir ialah peguam pemerhati keluarga mangsa iaitu Wong Wei Fan dan Syed Ismit Putra Syed Mohd Fuad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!