Peniaga didenda RM4,000 tebang pokok milik MBK tanpa kebenaran

Iklan
Tertuduh menutup muka elak wajah dirakam ketika tiba di mahkamah pada Khamis.

KUANTAN - Seorang peniaga didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku salah menebang pokok warisan jenis Batai Laut berusia hampir 50 tahun milik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tanpa kebenaran, April lalu.

Tertuduh, Liau Hai Keong, 55, turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Iklan
Iklan

Hukuman diputuskan Majistret Wahidah Zainal Abidin manakala pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa MBK, Mohammad Hafiz Ramlan.

Berdasarkan kertas pertuduhan dan fakta kes, Hai Keong didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan IM 7/5 Bandar Indera Mahkota, di sini jam 11 pagi, 21 April lalu.

Iklan

Perbuatan itu tular selepas video kejadian dikongsi pengguna Facebook.

Berdasarkan rakaman video tular, terdapat sebuah lori berada di lokasi tersebut dan beberapa lelaki sedang memotong pokok dengan ukuran lilit batang lebih 0.8 meter itu.

Iklan

Hasil siasatan dijalankan pihak majlis hari berikutnya, mendapati pokok tersebut ditebang tanpa kebenaran.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh juga mendapati penebangan tersebut telah diarah oleh tertuduh dengan alasan pokok berkenaan telah menghalang premis restoran miliknya yang terletak berhampiran.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 35H Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972 (Akta 172) iaitu menebang suatu pokok dengan lilitan melebihi 0.8 meter tanpa kebenaran.

Sabit kesalahan, dia berdepan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Peguam, Mohd Mohd Shuhairi Ziqrul dalam rayuan mewakili tertuduh memohon hukuman denda paling minimum memandangkan anak guamnya itu telah dikompaun RM2,000 dan diambil tindakan sivil RM10,000 oleh pihak majlis berkait kesalahan tersebut.

"Tertuduh juga perlu menyara isteri bersama empat anak dengan pendapatan RM2,000 sebulan," katanya.

Bagaimanapun Mohammad Hafiz memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira kesalahan dilakukan kerana pokok yang ditebang itu pokok warisan berusia hampir 50 tahun dan penjagaannya memerlukan kos yang tinggi.

"Perbuatan tertuduh itu juga telah menjejaskan landskap dan mencacatkan pandangan di kawasan itu," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!