Status tiga representasi Rosmah gugur 17 pertuduhan belum diterima

Iklan
Rosmah (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Khamis, bagi prosiding hujahan untuk menggugurkan kes.

KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bahawa Datin Seri Rosmah Mansor masih belum menerima jawapan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status representasi ketiga yang dihantar Disember tahun lalu.

Peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Rosmah, 73, berkata, ia membabitkan representasi untuk menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bermula tahun 2013.

Iklan
Iklan

Untuk rekod, Rosmah menghantar tiga representasi iaitu pertama pada 3 Mei 2023, manakala kedua dan ketiga pada 18 Ogos serta 12 Disember tahun sama.

Bagaimanapun, sehingga kini perkembangan bagi ketiga-tiga representasi berkenaan masih belum diterima.

Iklan

Ketika prosiding pendengaran hujahan untuk menggugurkan kes di hadapan Hakim, K Muniandy, Amer berkata, meskipun masih belum menerima maklum balas daripada AGC, pasukan pembelaan tidak berhasrat untuk menangguhkan prosiding berkenaan.

Justeru itu beliau berkata, hujahan berhubung permohonan terbabit boleh dibuat sebagai mana yang dijadualkan sebelum ini.

Iklan

Semasa hujahan, beliau berkata, pertuduhan yang dihadapi anak guamnya adalah tidak berasas.

Katanya, objektif pertuduhan adalah untuk memberi notis kepada isteri kepada bekas Perdana Menteri itu, namun kes yang dikenakan tidak mempunyai butiran yang lengkap.

Katanya, cara beberapa pertuduhan dirangka, tidak menunjukkan butiran yang diiktiraf dalam undang-undang.

Menurutnya, maklumat kesalahan itu tidak dinyatakan menjadikannya sebagai pertuduhan tidak berasas.

"Terdapat pertindihan kes, yang mana Rosmah dituduh melakukan kesalahan yang sama, sebanyak dua kali.

"Perkara yang cuba dilakukan oleh pihak pendakwaan ialah mencipta sebanyak mungkin pertuduhan sebagai set fakta yang sama, sedangkan ia tidak adil dan tidak berperlembagaan,” katanya.

Selepas Amer berhujah, mahkamah menetapkan 23 Ogos depan untuk sambungan hujahan daripada seorang lagi peguam Rosmah, iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Kesalahan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta LHDN di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos 2023 dan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!