Kabinet lulus cadangan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi

Iklan
Kabinet meluluskan cadangan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kabinet meluluskan cadangan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Dalam kenyataan pada Khamis, beliau berkata, pindaan itu adalah perlu bagi memastikan perundangan perlindungan data peribadi di Malaysia selaras dengan piawaian, perubahan serta perkembangan undang-undang global.

Iklan
Iklan

"Cadangan pindaan Akta 709 ini adalah untuk penambahbaikan dasar khususnya dari aspek keselamatan dan penguatkuasaan dalam menangani isu pelanggaran dan penyalahgunaan data peribadi di Malaysia,” katanya.

Gobind berkata, antara cadangan utama pindaan kepada Akta 709 adalah mewajibkan pemberitahuan mengenai pelanggaran data peribadi, penambahan tanggungjawab pematuhan oleh pemproses data dan pelantikan Pegawai Perlindungan Data (DPO).

Iklan

Cadangan lain adalah memperkenalkan hak kemudahalihan data kepada subjek data dan memansuhkan keperluan pewartaan tempat yang dibenarkan untuk pemindahan mana-mana data peribadi ke luar Malaysia.

"Dalam merangka cadangan pindaan Akta 709 ini, Pesuruhjaya Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) turut mengambil kira input dan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan melalui pelbagai sesi libat urus,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, pindaan itu juga bertujuan menangani isu penyalahgunaan data peribadi susulan statistik jumlah aduan yang diterima bagi tempoh Oktober 2023 hingga Mac lepas menunjukkan trend peningkatan 5.1 peratus, dengan 322 aduan penyalahgunaan dan pelanggaran data peribadi diterima PDP.

"Sebanyak 157 aduan telah diterima pada suku keempat 2023 manakala 165 aduan diterima pada suku pertama tahun 2024. Bagi statistik pelanggaran data peribadi secara khususnya, trend meningkat dengan lebih ketara iaitu sebanyak 41 peratus pada 2024 berbanding 2023,” katanya.

Gobind berkata, menurut laporan statistik oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sebanyak 34,497 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM1.218 bilion telah dilaporkan di seluruh negara tahun lepas.

"Berdasarkan statistik 2023 tersebut, kes jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan SMS, tipu penyamaran di talian dan tipu panggilan telefon antara kes tertinggi yang direkodkan dengan 10,348 kes membabitkan kerugian RM352.9 juta,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bersidang bermula 24 Jun hingga 18 Julai ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!