Cuaca kering di Semenanjung, Sabah tapi Sarawak hujan esok

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Keadaan cuaca di Semenanjung Malaysia secara amnya dijangka tidak hujan pada sebelah pagi Tahun Baru Cina dan Ahad, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Beliau bagaimanapun berkata, pada sebelah petang, hujan atau ribut petir dijangka berlaku di Perak Selatan, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Iklan
Iklan

"Selain itu, keadaan akan bertambah lembab pada 27 (Isnin) dan 28 Januari (Selasa) kerana negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan pedalaman Pahang akan menerima hujan pada sebelah petang.

"Namun, tidak banyak hujan dijangka turun di negeri-negeri utara Semenanjung iaitu di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, dan kalau ada pun, ia tidak lebat,” katanya.

Iklan

Jailan berkata Sarawak dijangka agak lembab sepanjang tempoh perayaan dan minggu hadapan kebanyakan kawasan diramal akan menerima hujan terutamanya pada sebelah petang atau malam.

Bagi Sabah pula, beliau berkata keadaan agak kering dijangka pada esok tetapi, mulai Ahad ini, hujan diramal berlaku di beberapa tempat terutamanya di Timur dan pedalaman Sabah.

Iklan

Oleh itu, orang ramai yang tinggal di kawasan yang bercuaca panas dan ingin meluangkan masa cuti di luar rumah, dinasihatkan supaya minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi. - Bernama