PENGENDALI Ecuador, Felix Sanchez mengibaratkan perlawanan suku akhir Copa America menentang Argentina seperti perlawanan akhir dalam aksi yang akan berlangsung di Houston pada Jumaat.
Ecuador tidak pernah memenangi Copa America, tetapi jika berjaya meraih kemenangan ke atas Argentina pasti akan menjadi kejayaan bermakna buat pasukan itu.
Sanchez juga yakin pemainnya memiliki keupayaan untuk mengecewakan Argentina.
"Kami tahu Argentina adalah lawan yang tiada tandingan dan kami tahu betapa sukarnya ia akan berlangsung.
"Ia adalah satu lagi perlawanan akhir untuk kami, dan kami akan cuba untuk bersaing dengan juara dunia dan pasukan terbaik dunia. Saya percaya bahawa pasukan kami akan sangat bermotivasi dengan semangat yang sangat tinggi dan cuba bermain perlawanan yang baik.
"Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap pemain kami. Saya tahu bahawa mereka akan memberikan yang terbaik seperti yang mereka lakukan dalam tiga perlawanan," katanya.
Argentina kekal sempurna sepanjang peringkat kumpulan, memenangi ketiga-tiga perlawanan tanpa melepaskan sebarang gol.
Dalam pada itu, penolong jurulatih Argentina, Walter Samuel masih menjangkakan pertarungan yang sukar terutama dengan corak permainan Ecuador.
"Mereka adalah saingan yang berbeza.Kami berdepan Ecuador dalam perlawanan persahabatan terakhir. Kami mengenali mereka dan (mereka) mempunyai jurulatih yang berkebolehan.
"Bahagian fizikal adalah masalah besar, tetapi mereka juga mempunyai kualiti teknikal yang hebat. Mereka bermain kejohanan ini dengan baik, dan ia akan menjadi sukar," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!