Hukum baca surah an-Nas sebelum tunai solat

Iklan
MEMBACA surah an-Nas sebelum takbiratulihram diamalkan bagi berlindung diri daripada gangguan syaitan. Foto CANVA

KADANGKALA ketika hendak memulakan solat, kita mendengar imam atau jemaah lain membaca surah an-Nas sebelum mengangkat takbiratulihram.

Ada yang beralasan membaca tersebut boleh menjadi pelindung diri daripada bisikan syaitan yang mengganggu ketika solat. Benarkah dakwaan tersebut? Apakah surah berkenaan mempunyai kelebihannya tersendiri?

Iklan
Iklan

Menjawab persoalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, surah an-Nas merupakan surah yang diberi kelebihan sebagai doa pelindung.

"Oleh itu ibadah solat boleh ditunaikan dalam keadaan lebih khusyuk dan tenang,” jelasnya dalam artikel Al-Kafi #1986: Bolehkah membaca surah an-Nas sebelum menunaikan solat bagi menghindari daripada penyakit waswas yang disiarkan di laman web rasmi jabatan itu baru-baru ini.

Iklan

KHUSYUK dalam solat memerlukan persediaannya termasuk berlindung dengan ALLAH SWT daripada gangguan bisikan syaitan dengan membaca surah an-Nas. Foto CANVA

Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terdahulu menjelaskan, surah terakhir di dalam al-Quran itu mempunyai kelebihan yang dianugerahkan ALLAH SWT iaitu salah satu surah al-Mu’awwizatain iaitu sebagai doa pelindung seperti surah al-Falaq seperti disebut Imam Al-Qurtubi.

Iklan

"Perkara ini berdasarkan daripada hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhani, Baginda bersabda:

"Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan ke atasku ayat yang tak pernah dilihat seumpamanya iaitu: (surah an-Nas) sehingga akhir surah dan (surah al-Falaq) sehingga akhir surah.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Dalam hal ini katanya, solat merupakan ibadah yang penting dan juga disebut sebagai tiang utama dalam agama.

"Malah mereka yang melakukan solat dengan khusyuk akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang dijanjikan dengan kejayaan di dunia dan akhirat berdasarkan firman ALLAH SWT dalam ayat pertama dan kedua surah al-Mukminun,” jelasnya.

Katanya lagi, syaitan akan sentiasa mengganggu anak Adam ketika mengerjakan solat agar tidak khusyuk serta lalai dan leka.

SOLAT berjemaah mahupun bersendirian, sunat untuk membaca surah an-Nas sebelum takbiratulihram, menurut Imam Abdul Qadir Al-Fakihi. Foto CANVA

"Ini kerana syaitan dan iblis telah bersumpah dan berjanji akan mengganggu dan menyesatkan anak Adam sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat ke-16 dan ke-17 surah al-A’raf:

"Iblis berkata: ‘Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus.

"Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

Menurutnya, bagi menjauhkan diri daripada gangguan syaitan ketika menunaikan solat, seseorang itu hendaklah berusaha malah disarankan untuk memohon perlindungan dengan berdoa kepada ALLAH SWT sebelum memulakan solat supaya diberi kekhusyukan dan dilindungi daripada gangguan syaitan.

MEREKA yang melakukan solat dengan khusyuk akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang dijanjikan dengan kejayaan di dunia dan akhirat. Foto CANVA

"Hal ini kerana keistimewaannya sebagai al-Mu’awwizah atau doa pelindung daripada gangguan syaitan. Imam al-Ghazali dalam karyanya juga menyarankan supaya membacanya sebelum menunaikan solat bagi berlindung diri daripada gangguan syaitan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, bahkan sunat mengamalkan bacaan surah an-Nas menurut Imam Abdul Qadir Al-Fakihi kerana manfaat surah ini sebagai penghindar kepada penyakit waswas.