SHAH ALAM - Pengeluaran serentak pemilikan kosong dan hak milik strata (VPST) gagal dicapai kerana tiada penyelarasan antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama agensi kerajaan lain bagi memenuhi pelaksanaan polisi tersebut.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024, kegagalan tersebut turut melambatkan proses sehingga melebihi tempoh yang ditetapkan.
Hasil semakan audit terhadap rekod sistem e-tanah dalam tempoh tahun 2020 hingga 2022 mendapati, sebanyak 181 permohonan hak milik strata telah diterima, 202 kelulusan telah diberikan dan 24 permohonan pula sedang diproses (kelulusan hak milik turut meliputi permohonan yang dibuat sebelum tahun 2020).
"Tempoh 100 hari ditetapkan untuk memproses permohonan di Wilayah Persekutuan tidak relevan pada masa kini kerana majoriti permohonan diterima adalah melibatkan permohonan skim yang mempunyai lebih daripada 150 petak.
"Kami dapati tidak wujud koordinasi antara kementerian dan agensi yang terlibat menyebabkan pelaksanaan polisi ini tidak dapat dinilai,” katanya.
Bagi memastikan kelemahan itu dapat diatasi, LKAN mengesyorkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan KPKT perlu menyusul polisi VPST supaya pelaksanaannya dapat diselaraskan.
Selain itu, dengan mengkaji prosedur dan pemantauan yang lebih ketat dapat membantu mengatasi kelemahan sedia ada.
"Perkongsian sistem maklumat antara semua pihak termasuk iaitu KPKT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PPTG), Jabatan Pemetaan dan Ukur Malaysia (JUPEM), pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan badan pengurusan perlu diwujudkan bagi memastikan pengumpulan data dibuat secara lengkap, sistematik serta bersepadu.
"Selain itu, tempoh masa proses permohonan dan pengeluaran hak milik strata perlu ditambah baik bagi memastikan ia dapat dikeluarkan dengan segera,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!