PETALING JAYA - Tindakan seorang peniaga didakwa tidak menjual durian seperti yang diiklankan mengundang padah apabila premis miliknya dekat sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada Rabu.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan orang ramai berkaitan beberapa jenis durian seperti musang king, udang merah, 'black thorn' dan durian premium lain yang dijual di premis berkenaan.
"Aduan diterima mengatakan peniaga berkenaan tidak menjual durian premium itu sebagaimana yang diiklankannya menerusi siaran langsung dalam satu aplikasi media sosial.
"Susulan itu satu risikan dijalankan KPDN Selangor untuk membuat pengesahan berkaitan dakwaan itu," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis itu menggunakan papan iklan yang mengelirukan.
"Semakan mendapati papan iklan menyatakan durian yang dijual terdiri daripada gred premium bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati ia tidak seperti yang diiklankan.
"Terdapat durian dari gred biasa turut dicampurkan sekali di dalam bakul jualan dan tindakan ini didapati membuatkan pengguna keliru," katanya.
Menurutnya, tindakan kemudiannya diambil terhadap peniaga berkenaan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
"Siasatan berkaitan kesalahan itu dijalankan di bawah Seksyen 13 (1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999, iaitu membuat iklan berbentuk umpanan (iklan umpanan) dengan niat untuk tidak membekalkan seperti mana yang diiklankan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!