Bina SJKT di Sungai Bakap adalah cadangan - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Hari Anugerah Pendidik MARA bertemakan 'Pendidik Murabbi, Pemangkin Masyarakat Madani' di Menara Mara, pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ucapannya semalam adalah menjurus kepada cadangan pembinaan semula sebuah Sekolah Jenis Kebangsan Tamil (SJKT) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang yang sebelum ini telah dibatalkan.

Timbalan Perdana Menteri yang membidas kenyataan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa yang hari ini yang mendakwa kenyataan beliau itu bersifat ugutan dan menghina pengundi di kawasan tersebut, sebaliknya berkata, pembinaan untuk SJKT berkenaan telah disediakan peruntukannya sebelum ini, namun telah disalurkan ke tempat lain.

Iklan
Iklan

"Ini bukan satu saranan, bukannya satu janji. Tetapi kalau diteliti ucapan saya malam tadi, mencadangkan supaya sebuah Sekolah Tamil yang telah dibatalkan itu untuk dihidupkan semula, kerana peruntukannya telah ada ketika itu tetapi ia telah disalurkan ke tempat lain.

"Munasabah untuk penduduk di Nibong Tebal, khususnya di Sungai Bakap yang terdiri daripada anak-anak kaum India untuk diberikan pendidikan di Sekolah Tamil tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Anugerah Pendidik Majlis Amanah Rakyat (Mara), di sini pada Khamis.

Iklan

Annuar pada Khamis mendakwa kenyataan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu bersifat ugutan kepada pengundi dan dilihat menghina pengundi kawasan itu, seolah-olah tidak akan diberi projek tertentu sekiranya Pakatan Harapan (PH) tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.

Presiden UMNO itu berkata, selain itu, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Daerah Seberang Perai Selatan khususnya di Sungai Bakap, juga belum diwujudkan walaupun peruntukannya telah ada.

Iklan

"PAWE di semua daerah telah ada, tetapi daerah Seberang Perai Selatan khususnya di Sg Bakap belum diwujudkan. (Justeru), saya mencadangkan agar peruntukan ini digunakan selepas PRK Sungai Bakap,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu ini menyaksikan calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!