21 bot nelayan B40 jadi Eko-PV Pintar

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed (dua dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan Sadaqa House bernilai lebih RM100,000 kepada Ketua Projek Pembangunan Sistem Tenaga Elektrik Solar Terasing Bot Nelayan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Madihah Mohd Rasid sempena Majlis Perasmian Projek Pembangunan Sistem Tenaga Elektrik Solar Terasing untuk 21 Nelayan di Mersing, Johor pada Rabu.

SHAH ALAM - Nelayan B40 di Pengkalan Sungai Mersing, Johor menerima pemasangan panel solar fotovoltan (PV) pada bot bernilai RM100,000 hasil inisiatif Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menerusi Projek Sistem Tenaga Elektrik Solar Terasing, sejumlah 21 bot nelayan terlibat telah diubah sebagai Bot Eko-PV Pintar sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api, diesel.

Iklan
Iklan

Projek tersebut dibiayai menerusi sumbangan awam kepada Sadaqa House yang merupakan pemacu kewangan sosial Bank Islam yang diiktiraf di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, usaha kelestarian tersebut dijangka mampu mempertingkatkan keupayaan aktiviti perikanan, di samping memberi penjimatan kepada nelayan dan memelihara ekosistem alam sekitar, khususnya lautan.

Iklan

Menurutnya, ia juga membuktikan komitmen Bank Islam dalam mendukung matlamat Malaysia mencapai 40 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035 seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

"Bot nelayan terlibat akan dilengkapi ciri-ciri yang mampan seperti peralatan elektrik cekap tenaga serta memanfaatkan sumber tenaga yang diperoleh menerusi pemasangan panel solar PV pada bahagian atas bot.

Iklan

"Peralatan-peralatan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan bot tetapi juga mengurangkan kemungkinan pencemaran air dan bunyi serta pembebasan karbon, di samping memberikan penjimatan diesel sebanyak anggaran RM150 sebulan kepada nelayan-nelayan tersebut, sekali gus dapat membantu meningkatkan aliran tunai bagi kesejahteraan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pemasangan panel solar tersebut turut dijayakan 13 institusi kemahiran dan pengajian tinggi di seluruh negara yang membabitkan 180 pelajar dan warga kerja.

Institusi-institusi pengajian terlibat adalah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang, Politeknik Port Dickson, Politeknik Muadzam Shah, Politeknik Mersing, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Kolej Komuniti Jempol, Kolej Komuniti Kuala Langat, Kolej Komuniti Segamat 2, Kolej Komuniti Beaufort, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat.

Mohd Muazzam menambah, sejak dilantik sebagai rakan pelaksana Sadaqa House Bank Islam pada 2018,kerjasama dengan UTM telah menyediakan sistem solar kepada empat penempatan perkampungan terdiri daripada tiga kampung Orang Asli iaitu di Woh Intake di Tapah, Perak; Tewowoh, Mersing, dan Pucur, Kluang, Johor serta sebuah kampung nelayan atas air iaitu Kampung Linting, Pulau Tanjung Surat, Johor.

"Sejak 2018, Sadaqa House menyalurkan sejumlah lebih RM400,000 bagi penyediaan sumber tenaga boleh diperbaharui kepada kumpulan masyarakat rentan di luar bandar.

"Kami komited untuk menggerakkan usaha-usaha perkongsian rezeki dengan pelbagai golongan sasar bagi memastikan rangkuman kewangan menyeluruh dan kerjasama dengan UTM dan LKIM akan membolehkan kami menyediakan manfaat berkekalan demi kebajikan dan pembangunan nelayan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat berkata, LKIM mengalu-alukan mana-mana pihak dalam memberikan sumbangan kepada nelayan bagimemajukan sektor perikanan negara.

"Dengan adanya sistem yang lebih moden dan berinovatif ini, ia dilihat dapat meningkatkan lagi bekalan sumber protein negara dan mengurangkan kebergantungan import makanan," katanya.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ts Ir Dr Ahmad Fauzi Ismail, pula berkata, pihaknya berharap dengan sumbangan daripada segi kepakaran dan tenaga kerjasemua staf dan pelajar UTM dapat memberi manfaat berganda dan berpanjangan kepada nelayan di Mersing.