SEPANG - Pasukan bomba sedang giat mengenal pasti bahan kimia yang bocor di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.
Tinjauan Bernama mendapati pusat operasi telah dibuka sebagai kawalan risiko dengan beberapa jalan menuju ke tempat lokasi ditutup kepada orang awam.
Insiden kebocoran bahan kimia dipercayai gas metana itu dilaporkan berlaku pagi tadi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail dalam kenyataan memaklumkan Pusat Gerakan Operasi Negeri menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berkaitan kebocoran bahan kimia di lokasi berkenaan pada jam 11.23 pagi.
Berikutan itu, 23 pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA serta pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Shah Alam dan JBPM Negeri Sembilan digerakkan ke lokasi kejadian.
Agensi lain yang terlibat dalam operasi itu termasuk Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), pasukan Aviation Security (AVSEC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan Air Side Safety.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Muhammad Nur Khairi Samsumin terdapat 20 mangsa mengalami pening kepala yang terdiri daripada petugas Sepang Aircraft, MAS Engineering Hangar dan CAE.
"Enam mangsa telah dihantar ke Unit Kecemasan Udara (ADU), manakala 13 orang lagi dibawa ke pusat perubatan terdekat dan seorang mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu tular di media sosial yang mendakwa berlaku kebocoran gas di kawasan berkenaan dan gambar yang menunjukkan sekumpulan individu berkumpul di satu lokasi. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!