Fahmi kutuk sekerasnya insiden gangguan seksual terhadap wartawan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memandang serius insiden gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita yang sedang bertugas bagi liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan itu turut mengutuk sekeras-kerasnya insiden berkenaan, yang berlaku ketika wartawan wanita itu membuat liputan satu majlis perjumpaan pemimpin di Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.

Iklan
Iklan

"Saya telah menerima maklumat lanjut berhubung kejadian itu daripada wartawan berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara terperinci serta telus.

"Pihak yang melakukan kesalahan perlu segera dibawa ke muka pengadilan. Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku sama sekali, apatah lagi ketika pengamal media sedang menjalankan tugas,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, dilaporkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita, ketika kempen PRK DUN Sungai Bakap, semalam.

Hamzah berkata, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), hari ini dan direman dua hari untuk siasatan lanjut.

Iklan

Difahamkan dakwaan gangguan seksual tersebut berlaku di Dewan Khairat Sungai Kecil, ketika wartawan wanita itu sedang membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO.

Insiden gangguan seksual itu didakwa telah dilihat beberapa pengamal media lain, sebelum lelaki yang mendakwa dirinya petugas sebuah parti politik itu ditahan.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara), Mohd Iskandar Othman meluahkan rasa kesal dan mengecam insiden itu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku, pada ketika petugas media sedang menjalankan tugasan yang diamanahkan.

"Wartawan bukan alat atau objek untuk sesiapa. Harapan Mutiara agar pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan adil, sekali gus mengheret individu terlibat ke muka pengadilan dengan segera," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua petugas media yang membuat liputan PRK DUN Sungai Bakap, supaya menjaga keselamatan diri, sepanjang kempen PRK itu yang akan melabuhkan tirainya jam 11.59 malam esok.

PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!