Had pampasan beri kesan kepada pengguna

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Hezeri)

SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu meletakkan had pampasan ganti rugi dalam urusan pembelian kereta kerana ia akan memberi impak kepada pengguna.

Pakar automotif, Hezeri Samsuri berkata, had pampasan dikhuatiri menyebabkan kereta itu tidak dapat digunakan sepenuhnya atau usang kerana harga komponen bagi kenderaan model baharu lebih mahal berbanding jumlah ganti rugi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap transmisi dan komponen mempunyai harga yang berbeza-beza mengikut model kenderaan.

"Jumlah had pampasan sebanyak RM50,000 memang tak cukup sebab harga transmisi atau kotak gear kenderaan moden sekarang lebih mahal berbanding jumlah pampasan yang ditawarkan.

Iklan

"Antara komponen mahal dalam kenderaan adalah transmisi dan enjin kerana semakin canggih kenderaan itu, semakin mahal harganya manakala kenderaan elektrik pula lebih mahal kerana mempunyai motor elektrik serta sistem komputer.

"Sekiranya kita setuju dengan had nilai pampasan sedia ada ia mungkin relevan sekarang tetapi akan menjadi kenderaan usang dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang kerana jumlah itu tidak mencukupi,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sebelum ini, kerajaan mempertimbangkan kenaikan had tuntutan pampasan ganti rugi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) daripada RM50,000 kepada jumlah lebih besar bagi melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan.

Had maksimum sehingga RM150,000 yang dicadangkan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) kepada Dewan Rakyat dipersetujui sebagai nilai yang wajar diberi perhatian.

Mengulas lanjut, menurut Hezeri, kerajaan perlu berbincang bersama pemain industri bagi mendapatkan purata harga setiap komponen sebelum bersetuju meletakkan had pampasan.

Tambah beliau, kerjasama dan kajian daripada pelbagai pihak akan membantu lebih ramai pengguna di negara ini.

"Kerajaan perlu bekerjasama dengan pemain industri bagi membuat kajian dan mendapatkan harga purata bagi setiap komponen sebelum bersetuju menetapkan wang pampasan,” ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, pihaknya akan menjelaskan perkara berkenaan dalam sidang akhbar pada 16 Julai nanti.

"Pihak kami akan menjelaskan dalam sidang akhbar berkaitan isu pampasan bagi urusan pembelian kereta,” katanya.