DALAM terma bahasa Inggeris, hidup seseorang manusia umpama abjad B ke D iaitu ‘birth’ ke ‘death’. Atau dalam bahasa Melayunya, ‘lahir’ ke ‘mati’.
Nampak macam biasa-biasa sahaja, tapi perjalanan dua huruf itu dari saat kelahiran hingga kematian amat panjang dan penuh berliku. Bermula dengan alam bayi, kemudian alam kanak-kanak dan menuju ke alam remaja.
Antara ketiga-tiga alam ini, alam remajalah paling mencabar.
Merak Jalanan ketika remaja turut merasai tempiasnya. Ketika itu, keinginan menjadi bebas dan berdikari seperti orang dewasa begitu bergelodak sekali.
Anak remaja sering merasakan ibu bapa sering menjadi penghalang segala impian dan kemahuan mereka. Jika dimarah atau ditegur, mereka seolah-olah dihimpit tekanan yang amat berat dalam hidup, sedangkan teguran yang diberikan adalah perkara baik dan demi kebaikan.
Justeru, bagi ibu bapa yang memiliki anak remaja, cara pendekatan untuk menegur anak perlu berbeza dengan anak-anak masih kecil. Pendekatan pukul, cubit dan marah-marah tidak relevan lagi, sebaliknya kaedah bercakap sebagai kawan menjadi kaedah terbaik buat masa ini.
Anak-anak remaja pada ketika ini juga lebih senang mencari pempengaruh dalam hidup mereka sebagai rujukan atau penasihat.
Sementara itu, antara huruf B dan D, terdapat satu lagi huruf iaitu C yang disebut sebagai ‘choice’, atau dalam bahasa Melayu, pilihan.
Pilihan inilah yang menentu kejayaan dan mungkin punca kegagalan kita. Orang bijak akan belajar daripada kesilapan diri untuk menjadi lebih baik.
Mereka akan menggunakan pengalaman sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.
Setiap kejayaan itu ada prosesnya. Percaya kepada proses itu dan kekal istiqamah untuk memastikan semua impian menjadi kenyataan.