BubblesO2 melonjak ke pentas global melalui Rasa NYC di AS

Iklan
Tiga dari kiri: Aria, Amir Farid, Ain Azizah, Fathol Razak, Zalwany bersama tetamu yang hadir menunjukkan botol BubblesO2.
Dalam usaha mengembangkan pasaran antarabangsa terutamanya di Amerika Syarikat (AS), pengeluar air mineral jenama tempatan, Bubbles O2 Sdn Bhd (BubblesO2) telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Restoran Rasa NYC (Rasa NYC), restoran ternama di New York, yang menyajikan cita rasa Malaysia kepada penduduk tempatan dan pengunjung antarabangsa.

Satu memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara Pengarah Urusan Bubbles O2 Sdn Bhd, Ain Azizah Arifin yang mewakili BubblesO2 dan pemilik Rasa NYC, Datuk Fathol Razak Abdul Rauf mewakili Rasa NYC yang diadakan di Restoran Rasa NYC di New York pada 27 Jun lalu.

Pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail, Konsul Jeneral Malaysia di New York, Amir Farid Abu Hasan, Pengerusi Kumpulan Bubbles O2, Arifin Marzuki dan Timbalan Setiausaha, Bahagian Pembangunan Ekosistem Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Zalwani Zalkaply.

Menurut Ain Azizah, restoran itu menjadi pilihan BubblesO2 kerana Rasa NYC yang terletak di tengah bandaraya New York menjadi tumpuan penggemar makanan cita rasa Asia yang mementingkan keaslian dan kualiti.

"Selain menu masakan Malaysia, Rasa NYC turut menjadi lokasi bagi penganjuran acara antarabangsa dalam memperkenalkan makanan dan budaya Malaysia kepada dunia menerusi kerjasama dengan Kedutaan dan Badan-Badan Perwakilan Malaysia di New York,” jelas Ain Azizah dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil perkongsian itu menyaksikan BubblesO2 membekalkan botol kaca premiumnya kepada Rasa NYC sebagai daya tarikan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan restoran berkenaan.

Ain Azizah (dua dari kiri) dan Aria (kanan) di reruai BubblesO2 di Summer Fancy Food Show 2024 pada 23 hingga 25 Jun lalu bertempat di Jacob K. Javits Convention Center, New York.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Kerjasama antara kedua pihak ini adalah langkah yang strategik untuk mengembangkan jenama BubblesO2 di bumi AS dan menjadikan Rasa NYC sebagai salah satu platform bagi memperkenalkan produk-produk Malaysia ke AS. Kerjasama ini juga adalah langkah untuk memperkenalkan hospitaliti Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Ain Azizah berkata, teruja dengan peluang itu dan optimis kerjasama mereka dengan Rasa NYC akan memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak dalam bidang perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).

"Ia adalah permulaan yang baik untuk BubblesO2 mencapai dan mengembangkan jenama kami ke peringkat antarabangsa,” tambah Ain Azizah.

Datuk Fathol Razak turut meluahkan keterujaannya terhadap kerjasama ini. Beliau berkata,"Saya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan BubblesO2 dan membawa produk mereka ke New York dan AS. Saya juga berbangga dapat mempamerkan produk Malaysia yang berkualiti tinggi di Rasa NYC. Terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat atas sokongan padu mereka. Saya komited untuk memastikan kerjasama ini mencapai kejayaan tertinggi”, ujarnya.

Peneraju global



Mewakili BubblesO2, Ain Azizah berterima kasih kepada KUSKOP dan SME Bank kerana menyediakan platform melalui Program Eksport Perniagaan (BEP), yang memberi peluang kepada syarikat untuk memasarkan produk tempatan ke AS.

"Sokongan dan bimbingan yang diterima melalui program ini sangat penting dalam mencapai kejayaan.

"Malah melalui geran BEP juga, BubblesO2 dapat menyertai pameran di Summer Fancy Food Show 2024 pada 23 hingga 25 Jun lalu bertempat di Jacob K. Javits Convention Center, New York,” katanya.

Ain Azizah berkata, peluang yang diberikan adalah batu loncatan syarikat itu ke arah merealisasikan visi BubblesO2 untuk menjadi peneraju global dalam industri air mineral beroksigen semula jadi.

"Melalui sokongan padu daripada pelbagai pihak berkepentingan, BubblesO2 yakin perkongsian ini juga akan membuka banyak peluang dan membawa kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Fathol Razak dan Ain Azizah.


Platform terbaik

Sementara itu, Aria berkata, MoU berkenaan menjadi platform terbaik dalam memperkenalkan jenama berkualiti tempatan ke peringkat global.

"Inisiatif ini menunjukkan bagaimana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia boleh berjaya di peringkat antarabangsa dengan sokongan serta strategi yang betul. Ia mampu menyediakan peluang baharu kepada rakyat Malaysia bertapak dalam perniagaan di luar negara.

"SME Bank juga bersedia membantu PKS yang ingin melebarkan sayap mereka ke persada antarabangsa melalui program-program yang bersesuaian,” katanya.

Mempunyai pendapat yang sama dengan Aria, Konsul Jeneral Malaysia di New York, Amir Farid turut memuji usaha syarikat membawa jenama BubblesO2 ke bandaraya

terbesar di dunia itu.

"Apa sahaja perniagaan di New York, ia mampu melonjakkan jenama berkenaan. Kemasukan BubblesO2 ke dalam pasaran AS menyerlahkan keupayaan perniagaan rakyat Malaysia untuk bersaing di peringkat global.

"Perkongsian ini bukan sahaja membantu mempromosikan produk Malaysia tetapi mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan AS,” katanya.

Luaskan pasaran

Sementara itu, Zalwani turut yakin MoU itu mampu mempertingkatkan ekosistem perniagaan Malaysia secara global.

"Kami akan terus menyokong inisiatif membawa produk buatan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kerjasama Rasa NYC merupakan langkah penting untuk BubblesO2 dalam meneroka pasaran AS.

"Sebagai rakan kongsi pengedaran, Rasa NYC akan memperkenalkan produk BubblesO2 kepada rangkaian pelanggan di New York dan sekitarnya.

"Ini memberi peluang kepada BubblesO2 untuk meluaskan pasarannya dan meningkatkan pengiktirafan jenama dalam kalangan pengguna di AS,” katanya.