Pemilik salon berputih mata, RM146,020 lesap

Iklan
Mangsa melihat iklan pinjaman wang di media sosial daripada sebuah syarikat pinjaman wang. Foto hiasan

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik salon berputih mata apabila kerugian RM146,020 angkara tawaran pinjaman wang yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung perkara tersebut daripada wanita warga tempatan berusia 28 tahun itu, Rabu lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian bermula pada 7 Jun lalu apabila mangsa melihat iklan pinjaman wang di media sosial daripada sebuah syarikat pinjaman wang dan mangsa telah menghubungi syarikat berkenaan dan diberikan penerangan mengenai kadar bayaran bulanan oleh pekerja syarikat berkenaan.

"Mangsa kemudiannya berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM200,000 dan telah memberikan salinan butiran peribadi dan penyata akaun bank kepada suspek bagi tujuan permohonan pinjaman.

Iklan

"Suspek juga telah memperdayakan mangsa dengan meminta mangsa membuat pembayaran setem duti dan kredit scoring selain turut dijanjikan pinjaman akan diterima selepas mangsa membuat pembayaran tersebut.

"Mangsa mengikut arahan suspek dan membuat 16 transaksi berjumlah RM146,020 ke beberapa akaun bank tempatan," katanya.

Iklan

Raub berkata, suspek mendesak mangsa untuk terus membuat pembayaran bagi mendapatkan pinjaman wang, namun, mangsa enggan berbuat demikian dan sehingga kini mangsa masih belum menerima pinjaman wang seperti yang dijanjikan oleh suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!