Gagal patuhi waktu kerja dibenarkan, lelaki didenda RM1,800

Iklan
Laporan Sinar Harian

KUALA PILAH - Seorang lelaki didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi waktu kerja yang dibenarkan terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

Tertuduh, Shadesh Kumar, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Iklan
Iklan

Tertuduh turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai majikan kepada remaja lelaki berkenaan telah gagal mematuhi waktu kerja yang dibenarkan terhadapnya.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 12 Jun lalu lebih kurang jam 5.30 petang di sebuah lot di Jalan Kuala Pilah-Bahau, Kampung Bukit Gelugor.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 yang boleh di hukum di bawah Seksyen 14 akta sama.

Iklan

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau didenda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh sebelum itu dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda susulan perlu menanggung keluarga selain anaknya masih kecil dan ia merupakan kesalahan kali pertamanya.

Media sebelum ini melaporkan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Pilah menyerbu sebuah rumah di daerah ini dan menyelamatkan seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal selepas disyaki menjadi mangsa eksploitasi pekerjaan.

Hasil serbuan itu, pihak polis membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan yang menyelia serta mengawal seorang kanak-kanak warga tempatan untuk membuat kerja mengumpul barangan lusuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!