SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Selangor berpendirian bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang wajar dikosongkan dan dikembalikan kepada rakyat.
Ini berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan Madani.
Muda Selangor dalam kenyataanya menegaskan, tindakan ADUN Selat Klang tidak menghormati Enakmen Anti Lompat Parti di peringkat DUN Selangor yang diluluskan pada November 2022.
"la akan menjadi teladan, di mana Enakmen Anti Lompat Parti ini adalah satu enakmen yang mudah dimanipulasi mengikut keadaan dan kepentingan tertentu.
"Kelemahan ini akan menjadi penyebab kepada isu ketidakstabilan politik pada masa akan datang," menurut Muda Selangor dalam kenyataan itu pada Jumaat.
Susulan itu juga, Muda turut mendesak agar Speaker DUN Selangor, Lau Weng San mengisytiharkan pengosongan kerusi DUN Selat Klang sekiranya ADUN berkenaan enggan mengosongkannya secara sukarela.
"Jika Speaker DUN dari kerajaan parti yang sama meluluskan Enakmen Anti Lompat Parti Negeri Selangor, maka Speaker DUN daripada kerajaan sama jugalah yang perlu menzahirkan iltizam membendung amalan lompat parti ini.
"Walau apa pun alasan, ia tetap berunsur manipulasi terhadap Enakmen yang telah dikuatkuasakan. Muda Selangor mendesak agar kerusi N44 dikembalikan kepada rakyat," kata kenyataan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!