IPOH - Seorang peniaga warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan merogol anak tirinya, bulan lalu.
Tertuduh berusia 47 tahun yang berkahwin dengan rakyat tempatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang mana perhubungan sebagai bapa tiri adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan itu didakwa di lakukan di sebuah rumah di Taman Malcop dekat sini sekitar jam 1 petang pada 23 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan melebihi 30 tahun serta hendaklah dihukum sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas faktor hubungan dengan mangsa.
Tertuduh yang diwakili peguam, Kaladevi bagaimanapun memohon jaminan diberikan berikutan mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan tinggal bersama keluarga di Sabah.
Tertuduh yang tinggal di negara ini selama 29 tahun akan tinggal berasingan di sebuah rumah sewa dan bersedia dikenakan syarat tambahan dengan menahan passport dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu passport diserahkan kepada mahkamah, tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali.
Kes disebut semula pada 12 Ogos depan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!