ATLET karate Siti Nur Azwani Nor Azli mengakui pesaing di pentas final acara Kumite Bawah 61 kilogram (kg) wanita, Chananchida Thamol dari Thailand bukan lawan mudah biarpun pengakhirannya dia berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali kedua dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) pada Khamis.
Jelas penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi itu, Chanachida yang pernah ditentang pada edisi 20 sebelum ini menghadirkan tentangan sengit edisi Surabaya-Malang 2024 di Gedung Samantha Krida Universitas Brawijaya (UB).
"Sejujurnya saingan daripada Chananchida agak mencabar kerana dia merupakan lawan saya ketika di Ubon Ratchathani sebelum ini.
"Jadi disebabkan pernah lawan dia sebelum ini kami tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing, di situlah cabaran aksi final tadi," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir tersebut.
Ditanya fokusnya selepas AUG 2024, Siti Nur Azwani berkata, dia akan membuat persediaan yang lebih bagi temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada September depan.
Sebagai rekod di edisi SUKIPT 2022 kategori sama Nur Azwani meneruskan rentak cemerlang AUG 2022 apabila juga mengungguli Kumite Bawah 61kg wanita.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!