Pemandu lori lepas, bebas pertuduhan edar dadah

Iklan
Syafri (tengah) dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri atas pendakwaan edar dadah pada April 2020.

SEREMBAN - Seorang pemandu lori tidak dapat menahan sebak apabila Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat membuat keputusan melepaskan dan membebaskannya tanpa perlu membela diri atas pertuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Rohani Ismail pada prosiding hujahan di akhir pembelaan terhadap Syafri Hamzah, 44, selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak.

Iklan
Iklan

"Selepas mendengar hujahan yang diberikan saksi pihak pendakwaan dan meneliti hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak, saya dapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie atas pertuduhan ini.

"Oleh yang demikian, saya memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan terhadapnya tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.

Iklan

Rohani turut berpesan kepada tertuduh supaya pandai memilih kawan dan tidak sewenang-wenangnya membawa orang yang tidak dikenali ke rumah.

"Kamu jangan berkawan dengan orang yang bukan- bukan. Jangan bawa balik sesiapa yang tidak kenal," katanya.

Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya jenis pil ekstasi anggaran berat 4.09 kilogram di sebuah unit pangsapuri dekat Bandar Baru Nilai, Nilai, kira-kira jam 10.30 malam pada April 2020.

Berikutan itu,dia telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) akta yang sama yang mana jika disabitkan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula Disember 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hadi Hakimi Harun manakala tertuduh diwakili Peguam S Daniel.

Sementara itu,Daniel ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan anak guamnya ditahan di Kajang, Selangor manakala dadah ditemui di rumah sewa tertuduh di Nilai dan pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai barang kes.

Selain itu katanya, berdasarkan keterangan saksi yang juga rakan tertuduh, bukan Syafri sahaja yang mempunyai akses untuk masuk ke rumah berkenaan, malah siasatan juga tidak menemui kesan cap jari tertuduh pada barang kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!