BEIJING - Tindakan China memperluaskan langkah kuarantin dan sekatan perjalanan bagi mengekang penularan wabak koronavirus atau dikenali sebagai 2019 n-CoV menyebabkan lebih 40 juta penduduk di 13 buah bandar ‘terperangkap’.
Situasi itu mencetuskan panik dalam kalangan rakyat selepas khabar angin tersebar bahawa katil dan ubat di hospital tempatan tidak mencukupi untuk menampung mereka yang mahu mendapatkan rawatan.
Pegawai di bandar Xianning, Xiagon, Enshi dan Zhijing berkata, perkhidmatan pengangkutan awam termasuk bas dan stesen kereta api digantung.
Keempat-empat bandar terbabit terletak di tengah wilayah Hubei, lokasi dikenal pasti sebagai pusat wabak yang mempunyai 80 peratus persamaan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
SARS meragut hampir 650 nyawa di China dan Hong Kong pada 2002 hingga 2003.
Terdahulu, Jingzhou yang mempunyai populasi 6.4 juta penduduk mengenakan larangan perjalanan di semua stesen kereta api bermula jam 4 pagi (waktu tempatan) semalam.
Menurut pihak berkuasa, tindakan itu perlu untuk mengekang penularan koronavirus yang setakat ini telah meragut 26 nyawa dan mencatatkan lebih 800 kes jangkitan.
Perkhidmatan bot dan bas juga dilarang masuk ke Wuhan.
Antara bandar lain yang dikenakan sekatan perjalanan termasuk Xiantao yang mempunyai 1.5 juta penduduk dan Chibi yang berkepadatan penduduk 500,000 orang.
Bandar Ezhou, Huanggang dan Lichuan juga mengumumkan langkah sama. - AFP
China meningkatkan langkah mengekang penularan wabak koronavirus dengan menutup sementara jambatan, pengangkutan awam dan lapangan terbang utamanya.
Bandar Zhijiang yang mempunyai populasi 550,000 penduduk mengumumkan penutupan semua perniagaan kecuali farmasi.
Bandar Enshi dengan populasi 800,000 penduduk menutup semua tempat hiburan.