PRK Sungai Bakap: 3 dipanggil kes gangguan seksual terhadap wartawan

Iklan
Hamzah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Jumaat.

SUNGAI BAKAP - Polis merakam keterangan tiga individu membabitkan kes gangguan seksual terhadap wartawan ketika bertugas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan berhubung kejadian sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, suspek telah direman selama dua hari dan tempoh perintah reman akan berakhir pada Jumaat.

Iklan

"Sudah di peringkat akhir untuk melengkapkan siasatan sebelum dilanjutkan ke pihak pendakwa raya... telah rekod keterangan tiga orang dan kawad cam akan dilakukan pagi ini," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Jumaat.

Menurut Hamzah, kes akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu gangguan seksual dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan tidak sopan.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memandang serius insiden membabitkan seorang wartawan wanita yang sedang bertugas bagi kempen PRK DUN Sungai Bakap.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuat liputan kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Dewan Khairat Sungai Kechil di sini pada jam kira-kira 10.30 malam Rabu.

Insiden itu didakwa turut dilihat beberapa pengamal media lain sebelum lelaki yang mendakwa dirinya petugas kempen parti politik itu, ditahan.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Mohd Iskandar Othman meluahkan rasa kesal dan mengecam insiden itu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku kepada petugas media.

"Wartawan bukan alat atau objek untuk sesiapa, harapan Mutiara agar siasatan secara telus dan adil dilakukan sekali gus mengheret individu terlibat ke muka pengadilan,"katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua petugas media yang membuat liputan PRK DUN Sungai Bakap, supaya menjaga keselamatan diri sepanjang kempen yang akan melabuhkan tirai pada jam 11.59 malam Jumaat.

PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff akibat keradangan dalam perut pada 24 Mei lalu.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.