TAIPING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah kilang biskut di sini pada Khamis yang disyaki menggunakan sijil halal tamat tempoh.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan sekitar jam 10 pagi itu dilakukan hasil pemeriksaan harian terhadap premis produk makanan yang menggunakan logo halal.
"Hasil serbuan mendapati kilang ini mengeluarkan produk biskut serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk dan diedarkan untuk jualan sekitar Semenanjung Malaysia dan Sabah.
"Pemeriksaan lanjut ke atas pemilik kilang mendapati sijil halal yang dimiliki telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, sebanyak 940 bungkus biskut serta 1,800 pelekat dan bungkusan menggunakan logo halal tidak sah bernilai RM2,422.80 telah disita.
"Kes disiasat di bawah Perintah 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.
"KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!