Sanggup bersesak, bercampur dari guna koc wanita

Iklan
Kemudahan koc wanita di MRT Laluan Putrajaya. Gambar kecil dari kiri: Azilawati, Noor Najlah, Al Hadid Irfan, Ahmad

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan koc wanita di Transit Aliran Massa (MRT) sangat memberi manfaat khususnya mencegah risiko gangguan seksual namun kemudahan itu tidak dimanfaatkan segelintir kaum hawa.

Iklan
Iklan

Seorang pengguna, Ahmad Suaidan, 35, berkata, ada antara penumpang wanita tidak ambil kisah kelebihan disediakan itu apabila rela bersesak di koc biasa bersama pengguna lelaki.

Menurutnya, kemudahan tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengelak kelebihan tersebut ditarik.

Iklan

"Wanita masuk ke koc biasa tiada masalah kerana ia tidak melanggar undang-undang namun perlu peka dengan kemudahan yang telah disediakan.

"Apabila kemudahan itu tidak digunakan sepenuhnya, ia menyebabkan orang lain (kaum lelaki) rasa teraniaya apabila terpaksa bersesak terutama ketika waktu puncak," katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian berkaitan kemudahan koc wanita di MRT Laluan Putrajaya.

Iklan
Keadaan dalam koc wanita.

Kakitangan kerajaan itu berkata, beliau pernah menyuarakan pandangan penambahbaikan susun atur kedudukan koc wanita diletakkan di hujung gerabak berbanding di bahagian tengah seperti dilakukan sekarang.

"Saya berpandangan jika koc biasa diletakkan di tengah akan lebih memudahkan kaum hawa beralih ke koc wanita apabila koc biasa penuh.

"Berbanding keadaan sekarang, apabila koc wanita diletakkan di tengah, pengguna lelaki sendiri susah untuk berpindah ke koc lain kerana terhalang dan dipisahkan oleh koc wanita yang terletak di tengah (gerabak)," katanya.

Justeru, beliau berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan dengan menjadikan MRT Laluan Putrajaya sebagai tempoh percubaan bagi melihat hasil penambahbaikan tersebut.

Seorang lagi pengguna, Al Hadid Irfan Imran, 18, berkata, aspek pemantauan dan penguatkuasaan boleh dipertingkatkan bagi memastikan penggunaan koc wanita dapat dimaksimumkan.

"Kalau lihat sekarang pemantauan lebih kepada menghalau lelaki yang menggunakan kemudahan koc wanita.

"Ada baiknya aspek pemantauan terhadap koc biasa juga ditingkatkan dengan menggalakkan wanita memenuhkan koc wanita terlebih dahulu sebelum masuk ke koc biasa," katanya.

Pelajar itu turut memuji usaha pengurusan MRT yang membuat hebahan meminta penumpang wanita memenuhkan koc khas disediakan itu sebelum masuk ke koc biasa.

Katanya, dia tiada masalah berkongsi kemudahan itu bersama, namun kaum wanita sendiri perlu ada kesedaran mengoptimum kemudahan yang disediakan untuk tujuan keselamatan dan keselesaaan bersama.

"Untuk penyelesaian, kita tidak boleh nak sedia koc lelaki sahaja sebab masalah pula bagi yang bekeluarga atau berpasangan, takkan nak berpisah pula ketika guna kemudahan ini.

"Cara terbaik adalah atas kesedaran wanita itu sendiri, mereka perlu fikirkan keselamatan diri yang terdedah gangguan seksual, disebabkan itu koc wanita disediakan," katanya.

Bahagian menunggu koc wanita yang diwarnakan merah jambu bagi memudahkan perbezaan dengan koc biasa.

Seorang pekerja swasta, Noor Najlah Mohd Shaari, 33, berkata, kemungkinan wanita yang memilih duduk di koc biasa kerana datang bersama pasangan atau kawan-kawan lelaki menyebabkan mereka tidak masuk ke koc wanita.

"Mungkin juga ada antaranya malas nak berjalan jauh dan bila nampak koc biasa kosong terus duduk. Saya pun kadang kala macam tu juga tapi tengok situasi, kalau masuk koc biasa penuh, saya akan beralih ke koc wanita.

"Koc wanita penting buat keselamatan untuk cegah kes gangguan seksual dan kecurian. Jika duduk di koc biasa, risiko itu kita kena tanggung sendiri kerana kemudahan telah disediakan," katanya.

Bagi pengguna MRT, Azilawati Otshman, 44, penyediaan koc wanita merupakan satu kelebihan buat kaum hawa yang tidak perlu bercampur dengan kaum lelaki terutama ketika waktu puncak.

"Koc wanita bagus kerana kita dapat jaga aurat dan tak perlu bercampur dengan kaum lelaki. Kalau ada kosong di koc wanita baik penuhkan, kalau dah tak ada pilihan baru masuk ke koc biasa.

" Setakat ini perkhidmatan bagus, kalau ada lelaki masuk koc wanita ada petugas pantau dan halau mereka.

" Harap wanita sendiri ada kesedaran guna kemudahan disediakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!