PRK Sungai Bakap: Pengundi dinasihat tidak keluar mengundi saat akhir

Iklan
Petugas SPR membuat persiapan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, hari ini. Foto Bernama

NIBONG TEBAL - Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir pada hari pengundian esok dan digalakkan mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti dalam aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, bagaimanapun pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan.

Iklan
Iklan

"Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Semakan awal maklumat pengundian seperti maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Iklan

Selain itu, Ikmalrudin berkata penggunaan telefon bimbit di saluran tidak dibenarkan dan pengundi, calon serta petugas yang ingin memasuki pusat mengundi, dilarang memakai baju, topi, pelitup muka atau sebarang bahan yang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti serta calon yang bertanding atau sebarang bahan kempen.

"Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggar peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini dan selepas itu semua pihak perlu menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi di luar pusat mengundi serta saluran media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok dan lain-lain.

"Semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara itu menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Sebanyak sembilan pusat mengundi mengandungi 65 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian, membabitkan seramai 39,151 pengundi berdaftar dan SPR menugaskan seramai 552 petugas pada PRK berkenaan.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!